Jemaah kita selamat

Jemaah kita selamat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Semua jemaah haji negara ini selamat dan tidak terlibat alam kejadian rempuhan yang mengakibatkan kematian dalam kalangan jemaah haji di Mina, Arab Saudi hari ini.

Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Pejabat Urusan Haji Negara Brunei Darussalam yang bertugas ketika ini di Arab Saudi mengesahkan perkara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Semasa kejadian rempuhan berlaku, para jemaah haji negara ini sedang berada di Mekah untuk melaksanakan tahalul selepas beredar dari Padang Arafah. Untuk itu, orang ramai terutamanya keluarga jemaah haji di sini dinasihatkan tidak merasa bimbang dan cemas dengan berita yang diterima mengenai kejadian itu.

Menurut agensi berita Reuters, jumlah angka korban dalam kejadian rempuhan semasa jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji mencecah 717 dan sekurang-kurangnya 863 cedera.

Memetik pihak berkuasa Pasukan Pertahanan Awam Saudi, agensi itu berkata kerja-kerja operasi menyelamat dalam kejadian tersebut, dijalankan di pintu masuk jambatan ke Jamrah untuk mengerjakan ibadat melontar jamrah di Mina, luar Mekah.

Kakitangan perubatan merawat jemaah haji yang cedera akibat rempuhan sejumlah besar orang yang berasak-asak di Mina, luar bandar Mekah, 24 September. Angka kematian akibat rempuhan itu mencecah lebih 700, menurut pasukan Pertahanan Awam Saudi. – Reuters
Kakitangan perubatan merawat jemaah haji yang cedera akibat rempuhan sejumlah besar orang yang berasak-asak di Mina, luar bandar Mekah, 24 September. Angka kematian akibat rempuhan itu mencecah lebih 700, menurut pasukan Pertahanan Awam Saudi. – Reuters

Tragedi berlaku ketika sejumlah besar jemaah berasak-asak di Jalan 204, di pusat perkhemahan Mina yang merupakan satu daripada dua jalan utama menuju ke kawasan melontar Jamrah yang terletak beberapa kilometer ke timur Mekah.

Bencana hari ini merupakan yang terburuk pernah berlaku kepada jemaah haji semenjak insiden Julai 1990 apabila 1,426 orang jemaah haji mati dalam kejadian rempuh di terowong berhampiran Mekah. Kedua-dua kejadian rempuhan ini berlaku pada Hari Raya Korban, sambutan paling penting dan hari melontar Jamrah umat Islam.

Ibadah haji, perhimpunan tahunan paling besar umat Islam seluruh dunia, sudah menjadi tempat kejadian beberapa rempuhan, kebakaran dan rusuhan pada masa lalu, dan terbaru adalah kejadian kren jatuh yang meragut lebih 100 nyawa jemaah haji.

Namun bencana itu semakin berkurangan dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini kerana kerajaan Arab Saudi membelanjakan berbilion dolar untuk menaiktaraf dan meluaskan infrastruktur dan teknologi kawalan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA