Jenama Malaysia kuasai pasaran biskut India

Jenama Malaysia kuasai pasaran biskut India

MUMBAI, 29 Feb (Bernama) – Jenama Malaysia berjaya dalam menguasai sebahagian besar pasaran biskut India, dan negara ini juga merupakan pembekal asing terbesar produk berkenaan.

Ini merupakan tambahan kepada penguasaan Malaysia sebagai pembekal roti paratha ke India

Mazlan Harun, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Mumbai berkata jenama biskut yang dijual di India antara lain terdiri daripada Julie’s, Munchy’s dan Hup Seng.

“Kejayaan ini membuktikan potensi besar yang muncul hasil penambahbaikan perdagangan antara Malaysia dan India, yang ekonomi diunjur berkembang tujuh hingga 7.5 peratus tahun ini.

“Perdagangan dua hala Malaysia-India pada 2015 mencecah RM46.82 bilion, meningkat 3.5 peratus berbanding RM45.23 bilion pada 2014.

“India yang mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh tahun ini, baik untuk perdagangan dan perniagaan memandangkan ia akan menjana permintaan daripada kelas pertengahan yang semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Minyak sawit merupakan eksport utama Malaysia ke India susulan permintaan berterusan untuk komoditi itu.

Ia mengusai hampir 26 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke India.

Kategori produk kedua terbesar selepas minyak sawit ialah elektronik dan elektrik (16.9 peratus), diikuti petroleum mentah (16.1 peratus).

Pada 2015, eksport dari India ke Malaysia meningkat 13.6 peratus kepada RM15.16 bilion. Eksport Malaysia ke India bernilai RM31.67 bilion.

Platform e-dagang Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan antara inisiatif baharu dalam meningkatkan eksport ke India, dan agensi itu menandatangani perjanjian e-dagang dengan tradeindia.com pada Januari tahun ini.

“Kami mahu mempromosikan produk menerusi platform tradeindia.com,” kata Mazlan.

Flipcart, syarikat e-dagang India, juga merupakan antara pengimport terbesar produk Malaysia.

Bagi menggerakkan perdagangan dengan India, ada rancangan untuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed melawat negara itu Mei ini.

“Kami menunggu lawatan beliau, namun rancangan itu belum disahkan setakat ini,” kata Mazlan.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya juga telah menerima banyak pertanyaan daripada syarikat pembinaan Malaysia yang kagum dengan kadar pertumbuhan India dan sikap mesra perniagaan kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

“Saya yakin terhadap India,” kata Mazlan. Pejabat Matrade Mumbai juga menganjurkan acara khas di India, dan mempelawa syarikat India untuk mengambil bahagian dalam program padanan perniagaan dengan rakan mereka di Malaysia

“Kami merancang menganjurkan program di Uttar Pradesh, di utara India, pada suku ketiga tahun ini.”

Banyak syarikat India juga mengambil bahagian dalam acara di Malaysia dan kami akan menganjurkan program penyumberan antarabangsa dari 28 hingga 31 Mac untuk pameran berkaitan halal, MIHAS

“Kira-kira 25 syarikat India telah mendaftar untuk program ini. Peserta pameran Malaysia juga berminat ke atas pemaran perdagangan perabot dan getah India (kedua-duanya di Mumbai), pameran makanan (Mumbai dan Delhi), pameran peralatan perubatan (Chennai),” kata Mazlan.