Jenama Malaysia, Singapura antara pemenang Anugerah Jenama Dunia

Jenama Malaysia, Singapura antara pemenang Anugerah Jenama Dunia

LONDON, 21 Sept – Edisi ketiga Anugerah Jenama Dunia yang berprestij itu menyaksikan 210 jenama dari 30 buah negara mendapat anugerah “Jenama Terbaik” pada satu majlis gilang gemilang yang diadakan di pintu masuk utama dan rumah tanaman oren di Istana Kensington hari ini.

Apple, BMW, British Council, Cartier, Coca-Cola, Facebook, Google, Lego, L’Oréal, Louis Vuitton, McDonald’s, Nescafé, Nike, Oral-B, Pampers, Rolex, Samsung, Starbucks, Schwarzkopf dan VISA diumumkan sebagai pemenang global.

Jenama yang menang dari Malaysia ialah Getha, Lewré, Marini’s Group, MML, Maybank dan Spritzer, manakala pemenang Singapura adalah Aztech, BreadTalk, ComfortDelGro, DBS, Great Eastern, Raffles Education, Singapore Airlines, Singtel dan Skylight.

Pemenang lain di peringkat kebangsaan termasuk, antara lain, ICBC (China), Bang & Olufsen (Denmark), Hermès (Perancis), Nivea (Jerman), Chow Tai Fook (Hong Kong), State Bank of India, Indomilk (Indonesia), Prada (Itali), Sukiya (Jepun), Dulux (Belanda), SM Supermalls (Filipina), Nando’s (Afrika Selatan), AmorePacific (Korea Selatan), Santander (Sepanyol), Zurich (Switzerland), Chunghwa Telecom (Taiwan), King Power (Thailand), Dubai Duty Free (Emiriyah Arab Bersatu), dan Prudential (United Kingdom).

Pemenang serantau termasuk Eu Yan Sang, Giordano, Lee Kum Kee, Mandarin Oriental dan Watsons dari Hong Kong; Indomie (Indonesia); Ajinomoto, Isetan, Kikkoman dan Uniqlo dari Jepun; MTN dari Afrika Selatan; Zara (Sepanyol); dan RAK Ceramics (Emiriyah Arab Bersatu).

Uniknya, pemenang dinilai melalui tiga aliran: penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna, dan undian awam dalam talian. Setiap jenama telah dinamakan sebagai “Jenama Terbaik” di dalam kategori masing-masing. Tahun ini, sebuah trofi bersadur emas 24 karat yang direka baharu telah diperkenalkan bagi kesemua pemenang.

Anugerah itu dianjurkan oleh Forum Jenama Dunia, sebuah pertubuhan global yang tidak mencari keuntungan yang khusus untuk memajukan standard penjenamaan bagi kebaikan komuniti penjenamaan dan juga pengguna. Ia menganjur dan menaja pelbagai program pendidikan, dan mempunyai kerjasama bersama dengan universiti dan muzium terkemuka.

Forum itu juga menerbitkan berita penjenamaan di laman webnya yang mencapai penonton global melebihi lima juta. – Bernama