Jenazah 2 warga Malaysia selamat dikebumikan

Jenazah 2 warga Malaysia selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) – Jenazah dua lagi jemaah Malaysia yang telah disahkan turut terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 Sept lepas, selamat dikebumikan di Makkah.

Jenazah Shahidan Saad, 52, dan Abdul Habib Lahman, 68, yang telah disahkan oleh waris mereka semalam dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah As-Shohada’ pada 7.45 malam (waktu tempatan).

Pengebumian jenazah kedua-dua jemaah yang berasal dari Kedah itu; Shahidan dari Kodiang dan Abdul Habib dari Sik, dihadiri isteri serta waris masing-masing.

Turut berada di Tanah Perkuburan Maqbarah As-Shohada’ untuk pengebumian itu ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) Tan Sri Hashim Meon, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah, Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Proses pengecaman dua jemaah berkenaan dilakukan waris dan anggota keluarga mangsa di rumah mayat Muaissem di Mina.

Abang Shahidan, iaitu Sobri serta adiknya Zulhakim serta Mohamad Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di Makkah pada Jumaat bagi melakukan ujian padanan DNA.

Asyraf Wajdi dalam sidang media berhubung perkara itu di Makkah semalam berkata ketika ini pihak TH sedang menumpukan pada usaha mempercepat proses pengurusan pengebumian jenazah bersama pihak Muassasah Asia Tenggara.

Sebelum ini, lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah (Kelantan); Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai (Kelantan); Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku (Kelantan) dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.

Dalam kejadian 5 petang pada 11 Sept lalu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren binaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat asar.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.

ARTIKEL YANG SAMA