Jenazah Kapten Hasman Hussin selamat tiba di New York

Jenazah Kapten Hasman Hussin selamat tiba di New York

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) – Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya hanyut dalam banjir di Missouri, Amerika Syarikat, selamat tiba di New York jam 5.30 pagi Ahad waktu Malaysia.

Menurut kenyataan daripada Markas Tentera Darat, jenazah Hasman diterbangkan menggunakan pesawat komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert-St Louis, Missouri pada 9.10 pagi waktu tempatan semalam (11.10 malam waktu Malaysia) ke New York. Sementara penerbangan balik dari New York ke Malaysia masih sedang diusahakan.

Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang pada 26 Dis apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Rabu lepas Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Dis waktu tempatan (1 pagi, 29 Dis waktu Malaysia).

Jaamah Ahmad, 80, nenek Allahyarham Kapten Hasman Hussin merenung gambar cucunya yang meninggal kerana lemas di Amerika Syarikat Isnin lepas. – Bernama
Jaamah Ahmad, 80, nenek Allahyarham Kapten Hasman Hussin merenung gambar cucunya yang meninggal kerana lemas di Amerika Syarikat Isnin lepas. – Bernama