Jeneral M’sia dianugerah Lencana Juruterbang Kehormat TUDB

Jeneral M’sia dianugerah Lencana Juruterbang Kehormat TUDB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menganugerahkan Lencana Juruterbang Kehormat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) kepada Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan bin Saad.

Penganugerahan berkenaan adalah sebagai penghargaan atas khidmat dan sumbangan yang telah diberikan dalam memperkukuhkan dan mempertingkatkan kerjasama di antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TUDB.

Majlis Penganugerahan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB berkenaan telah diadakan hari ini di Markas TUDB, Rimba.

Hadir bagi menyampaikan lencana berkenaan kepada Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Majlis telah dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan angkatan TUDB oleh Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan di luar Markas TUDB.

Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan membuat pemeriksaan barisan Tentera Udara Diraja Brunei berikutan ketibaan beliau di Markas Tentera Udara Diraja Brunei.
Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan membuat pemeriksaan barisan Tentera Udara Diraja Brunei berikutan ketibaan beliau di Markas Tentera Udara Diraja Brunei.
Pemerintah ABDB menyematkan Lencana Juruterbang Kehormat Tentera Udara Diraja Brunei kepada Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan.
Pemerintah ABDB menyematkan Lencana Juruterbang Kehormat Tentera Udara Diraja Brunei kepada Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan.

Kemudian, majlis diteruskan dengan penerangan latar belakang mengenai Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan dan penyampaian Lencana Juruterbang Kehormat TUDB kepada Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan oleh Pemerintah ABDB di dalam markas berkenaan.

Majlis seterusnya disusuli dengan bacaan doa oleh Guru Agama TUDB, Haji Othman bin Haji Matnor bagi memberkati majlis.

Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan telah ditauliahkan sebagai pegawai juruterbang pada Februari 1977.

Pada tahun 1981, beliau telah mengikuti kursus Jurulatih Penerbangan (QFI) dan merupakan seorang jurulatih Kategori ‘A’ dan berkhidmat selama lima tahun di Pusat Latihan Terbang Asas dan Lanjutan dalam pelbagai jawatan iaitu sebagai ‘Standard Officer’, Pemeriksa dan OC Akademik.

Beliau juga merupakan graduan Diploma Sains Pengurusan dari INTAN, Kuala Lumpur pada tahun 1989 dan dianugerahkan dengan Sarjana Pengajian Pertahanan dari Indian Armed Forces Defence Services Staff College pada tahun 1992.

Pada 2001 beliau menamatkan pengajian di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di Universiti New South Wales Australia dalam bidang Sarjana Pengurusan Strategik pada tahun 2004.

Sebelum ditauliahkan sebagai Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Roslan telah memegang pelbagai jawatan, antaranya sebagai pegawai memerintah No.1 dan No.21, skuadron komander Pangkalan Udara Subang, pemerintah Markas No. 2 Udara Labuan, penolong ketua staf material Markas Tentera Udara dan penolong ketua staf operasi dan latihan (J3) di Markas Angkatan Bersama.

Beliau terus melanjutkan perkhidmatan sebagai panglima No.1 Divisyen Udara Kuala Lumpur dan panglima operasi udara sebelum menjadi timbalan panglima Tentera Udara.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah banyak memberi sumbangan untuk memperbaiki hubungan dan kerjasama di antara TUDM dan TUDB, yang dapat dilihat dengan penerusan Mesyuarat Kelompok Kerja Udara (KKU) yang melibatkan pelaksanaan latihan dan eksesais di antara kedua-dua tentera udara, iaitu Search and Rescue Exercise (SAREX MALBRU) dan ‘Long Range Navigation Exercise (NAVEX).

Beliau juga memainkan peranan penting dalam menjalinkan persahabatan dan kerjasama antara semua tentera udara ASEAN untuk keamanan dan kemakmuran sekitar wilayah Asia Tenggara, terutama sekali penglibatan beliau menjayakan ASEAN Air Chiefs Conference (AACC) semasa Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada tahun 2015, dan penglibatan TUDM semasa Eksesais ADMM Plus (Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus) dalam Bantuan Kemanusiaan dan Bencana dan Perubatan Tentera yang diadakan di Brunei Darussalam pada tahun 2013.

ARTIKEL YANG SAMA