Jeneral serah diri

Jeneral serah diri

BANGKOK, 2 Jun (Reuters) – Seorang jeneral berpangkat tiga bintang Thailand dituduh terlibat dalam pemerdagangan manusia menyerah diri kepada pihak berkuasa hari ini, profil paling tinggi dalam kalangan berpuluh-puluh suspek yang dikehendaki polis sebagai sebahagian tindakan keras ke atas perdagangan haram itu.

Sejumlah 84 waran tangkap sudah pun dikeluarkan bagi pemerdagangan manusia, perniagaan yang menurut aktivis dan Amerika Syarikat kurang diendahkan oleh Thailand untuk menghentikannya. Polis menjelaskan 51 waran tangkap dikeluarkan setakat ini.

Leftenan Jeneral Manus Kongpan mengatakan dia bersedia dan sanggup dibicarakan. “Saya mahukan keadilan. Saya bersedia bekerjasama dengan pegawai dalam apa cara sekalipun,” dia memberitahu wartawan melalui telefon semalam semasa dalam perjalanan ke pos polis di Padang Besar, sebuah bandar di sempadan Thai-Malaysia yang pemerdagangan manusia berkembang pesat. “Tidak kira apa yang mahkamah putuskan, saya bersedia menerimanya.’

Terdahulu, ketua polis kebangsaan Thai, Somyot Poompanmoung mengatakan mahkamah sudah mengeluarkan waran tangkap ke atas Manas bagi pembabitannya itu.

Menurutnya, polis yakin dengan bukti yang ada,” Somyot memberitahu wartawan sebelum satu sidang media mengenai operasi antipemerdagangan manusia di ibu pejabat polis di Bangkok.

Somyot Poompanmoung menjawab soalan media mengenai operasi antipemerdagangan manusia di ibu pejabat polis di Bangkok. – AFP
Somyot Poompanmoung menjawab soalan media mengenai operasi antipemerdagangan manusia di ibu pejabat polis di Bangkok. – AFP

Polis minggu lalu mengatakan tidak ada lagi sebarang kem pemerdagangan manusia di selatan Thailand selepas tindakan keras membawa kepada penemuan sejumlah besar kubur di kedua-dua belah sempadan yang diselubungi hutan tebal itu.

Kira-kira 4,000 pendatang sudah mendarat di Indonesia, Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh semenjak Bangkok melancarkan tindakan kerasnya bulan lalu ketika tekanan antarabangsa meningkat ke atas Bangkok untuk menangani kumpulan itu.

Ramai mangsa adalah Rohingya Muslim yang dicerca oleh majority Buddha Myanmar dan hidup dalam kemiskinan di negeri Rakhine. Beribu-ribu melarikan diri dari Myanmar dalam kapal kayu dan ramai mengatakan mereka dieksploitasi dan dianiayai oleh ahli rangkaian penjenayah itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 2,000 pendatang masih lagi hanyut susulan tindakan keras Thailand, selepas penyeludup memilih untuk mengabaikan mereka berbanding membawa mereka ke pantai dan berisiko ditahan.

Menteri Pertahanan Thailand dan bekas ketua tentera Prawit Wongsuwan menegaskan Manus seharusnya dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. “Dia masih seorang suspek,” kata Prawit memberitahu wartawan.