Jentera mampu kurangkan tenaga buruh asing

Jentera mampu kurangkan tenaga buruh asing

SIBU, 23 Jun (Bernama) – Industri perladangan di Sarawak berkemungkinan besar tidak lagi perlu bergantung kepada pekerja asing berikutan pengenalan traktor pertanian Wolf Agricultural Mini Crawler oleh Powerful Agricultural Machinery Sdn Bhd (PAMSB).

Dilengkapi tempat takungan bersaiz 1.145m x 1m x 0.38m, traktor berkuasa enjin Yanmar 320cc itu boleh membawa sehingga 500 kilogram tandan buah segar pada satu-satu masa.

“Menerusi penggunaan traktor ini, syarikat dapat mengurangkan tenaga buruh asing, menjimatkan kos serta meningkatkan kecekapan,” kata Pengarah Urusan PAMSB, Yii Hee How.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian dengan Presiden Atex Co Ltd of Japan, Masahiro Murata, di sini, hari ini.

Perjanjian itu bagi membolehkan pengedaran jentera pertanian itu di Sarawak.

Traktor bersaiz kecil itu boleh meredah laluan kecil dan cerun di ladang, mudah dikendalikan, kos penyenggaraan serta penggunaan bahan api yang rendah.

Pengurus Pembangunan Perniagaan PAMSB Thomas Tang Yew Liang berkata syarikat itu menyasarkan penjualan kira-kira 100 unit jentera itu menjelang akhir tahun ini.

“Selain syarikat perladangan utama, kami turut berharap untuk membantu pekebun kecil membeli jentera ini menerusi pinjaman bank,” katanya.