Jentera negara hadapi cabaran

Jentera negara hadapi cabaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Acara Shell Eco-Marathon Asia 2016 yang berlangsung di Manila, Filipina, telah memasuki hari kedua hari ini, di mana dua pasukan Negara Brunei Darussalam dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Institut Teknologi Brunei (ITB) menjalani pemeriksaan teknikal bersama pasukan-pasukan lain.

Dalam pemeriksaan berkenaan, pasukan-pasukan perlu melalui 10 penilaian mandatori termasuk pemeriksaan dalam reka bentuk, dimensi, sistem brek, tali pinggang keselamatan dan darjah penglihatan kenderaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pasukan ITB One-U telah lulus sembilan daripada 10 pemeriksaan dengan sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan pada tali pinggang keselamatan.

Pemeriksaan sistem brek adalah cabaran utama pasukan berkenaan, di mana kenderaan terpaksa diletakkan di cerun condong dengan pemandu memberi tekanan ke atas brek yang dikawal dengan tangan.

Pasukan UBD GenNext Pejuang bergambar ramai bersama jentera mereka.
Pasukan UBD GenNext Pejuang bergambar ramai bersama jentera mereka.

Manakala itu, Pasukan UBD GenNext Pejuang turut berdepan cabaran-cabaran sama, dengan lulus sembilan daripada 10 pemeriksaan di mana mereka juga terpaksa membuat perubahan pada tali pinggang keselamatan.

Selepas lulus pemeriksaan-pemeriksaan lain, pasukan berkenaan meluangkan masa setengah hari mengatasi isu sistem brek yang merupakan cabaran utama kedua-dua pasukan Brunei.

Kedua-dua pasukan juga melahirkan harapan untuk melepasi pemeriksaan keselamatan dan teknikal esok bagi melayakkan mereka berlumba di Luneta Park.

Orang ramai boleh melihat keputusan pemeriksaan teknikal dan landasan pertandingan berkenaan di laman sesawang http://www.shell.com/energy-and-innovation/shell-ecomarathon/asia/live-results.html. Untuk mengikuti perjalanan kedua-dua pasukan, orang ramai juga boleh mengikuti akaun Instagram mereka di @ubdsem dan @itb.sem.

ARTIKEL YANG SAMA