Jepun adakan latihan kecemasan tahunan

Jepun adakan latihan kecemasan tahunan

TOKYO, 1 Sept (AFP) – Kira-kira 1.6 juta orang di seluruh Jepun mengambil bahagian dalam latihan kecemasan tahunan hari ini, dengan kanak-kanak sekolah berlindung di bawah meja dan pegawai kanan bermesyuarat sebagai respons kepada bencana semula jadi olok-olok.

Operasi menyelamat dan latihan perubatan kecemasan dilancarkan untuk mensimulasikan respons kecemasan terhadap gempa bumi dengan magnitud 7.3 yang melanda Tokyo pada awal pagi.

Menteri kabinet dalam pakaian seragam warna biru mengadakan mesyuarat di pejabat perdana menteri, sementara kanak-kanak sekolah di seluruh negara bersembunyi di bawah meja mereka atau memakai hud kalis kebakaran.

Latihan di seluruh negara itu diadakan setiap tahun pada 1 September, dikenali di Jepun sebagai Hari Pencegahan Bencana, yang berlaku pada ulang tahun Gempa Bumi Besar Kanto 1923 yang membunuh lebih daripada 100,000 orang dan memusnahkan seluruh Tokyo.

Kerajaan telah mempertingkat respons bencana sejak gempa bumi 2011 yang mencetuskan tsunami yang menyebabkan reaktor di loji nuklear Fukushima melebur.

“Kerajaan akan menjadikan satu keutamaan untuk melindungi nyawa penduduk dan menghadapi dan mengatasi situasi berkenaan dengan menggunakan segala sumber kami,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe.

Pakar telah mengingatkan Jepun supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi “Gempa Bumi besar” akan datang selepas satu gempa bumi dengan magnitud 7.8 melanda di luar pantai pada Mei.

ARTIKEL YANG SAMA