Jepun adakan ...

Jepun adakan latihan pemindahan serangan misil

TOKYO, 17 Mac – Puluhan penduduk dari bandar pesisir pantai Jepun mengambil bahagian dalam latihan pemindahan pertama bagi serangan misil negara itu, apabila ketegangan serantau meningkat terhadap ancaman-ancaman dari Korea Utara.

Latihan di bandar Oga itu tiba kurang dua minggu selepas tiga misil Korea Utara mendarat di Lautan Jepun, di luar pantai utara perbandaran itu.

Jepun telah sekian lama berada di hujung tanduk ke atas pelancaran-pelancaran Korea Utara sejak satu peluru berpandu balistik jarak sederhana dilancarkan tanpa amaran ke kawasan utara bandar itu dan ke dalam Pasifik barat dalam tahun 1998.

Rentak pembangunan misil Korea Utara telah dipergiatkan dan pelancaran-pelancarannya sejak tahun lepas telah mendarat semakin hampir ke pantai Jepun.

Sejumlah 110 penduduk, termasuk pelajar-pelajar sekolah rendah, turut serta dalam latihan itu, menurut seorang pegawai bandar Oga.

 Ketika latihan kecemasan itu dijalankan di bandar Oga. – AFP
Ketika latihan kecemasan itu dijalankan di bandar Oga. – AFP

“Sebuah misil kelihatan telah dilancarkan; terdapat kemungkinan misil itu akan turun; ia jatuh ke dalam Laut Jepun,” menurut beberapa siri amaran olok-olok yang dihantar kepada para pegawai di bandar-bandar dalam wilayah Akita.

Latihan itu tidak menyatakan Korea Utara sebagai pelakunya, hanya merujuk kepada ‘negara X’.

Namun latihan itu dijalankan pada premis di mana misil Korea Utara telah mendarat di wilayah perairan Jepun, kata seorang pegawai Sekretariat Kabinet.

Latihan itu telah dirancang tahun lepas dan bukan dijalankan disebabkan pelancaran-pelancaran Korea Utara pada awal bulan ini, kata seorang pegawai.

Tiga daripada empat misil yang dilancarkan oleh Pyongyang pada 6 Mac turun di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif Jepun (EEZ), 200 batu nautika (370 kilometer) dari arah pantainya di luar Oga.

Di bawah undang-undang antarabangsa, kawasan perairan wilayah dilanjutkan sehingga 12 batu nautika (22 kilometer) dari pantai daratan. – AFP