Jepun akan anjur sidang penyelesaian IP di Tokyo

Jepun akan anjur sidang penyelesaian IP di Tokyo

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Jepun akan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa mengenai penyelesaian konflik harta intelek (IP) dalam kalangan negara ASEAN +3 di Tokyo bermula 31 Oktober sehingga 1 November 2017.

Eisaku Yokoyama dan Kazuyuki Higashio yang merupakan profesor dan peguam negara kerajaan di Jabatan Kerjasama Antarabangsa, Penyelidikan dan Institut Latihan, Kementerian Keadilan (MOJ) dari Jepun, pada masa ini berada di negara ini bagi lawatan kerja selama lima hari bermula 26 hingga 30 September ini.

Lawatan lima hari ini adalah u2ntuk memberikan jemputan kepada hakim-hakim, profesional undang-undang dan pegawai kehakiman Brunei ke persidangan tersebut itu nanti.

Persidangan itu adalah yang pertama diadakan di Asia untuk berkongsi kefahaman yang sama dan kesedaran sistem undang-undang serta cabaran berkaitan dengan penyelesaian konflik IP.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan keupayaan dalam menyelesaikan konflik IP di rantau Asia, termasuk ASEAN.

Ketua Hakim Negara bergambar ramai bersama Noriko Iki, Eisaku Yokoyama dan Kazuyuki Higashio.
Ketua Hakim Negara bergambar ramai bersama Noriko Iki, Eisaku Yokoyama dan Kazuyuki Higashio.
Duta Jepun ke Brunei Darussalam bergambar bersama dua wakil dari Jepun.
Duta Jepun ke Brunei Darussalam bergambar bersama dua wakil dari Jepun.

Dalam kenyataan yang diberikan, China, Korea dan 10 negara anggota ASEAN termasuk Brunei, akan dijemput ke persidangan itu.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Mahkamah Agung Jepun, Mahkamah Tinggi IP, MOJ, Persekutuan Persatuan-persatuan Peguam Jepun dan Rangkaian Peguam IP Jepun.

Perbicaraan olok-olok oleh beberapa peserta negara, pembentangan mengenai sistem undang-undang dan sebagainya akan diadakan sebagai sebahagian daripada acara yang akan diadakan sempena persidangan itu.

Kedua-dua pegawai MOJ itu diiringi oleh Duta Jepun ke Brunei Darussalam, Noriko Iki yang membuat lawatan ke Badan Kehakiman kelmarin dan mereka juga turut mengadakan pertemuan bersama hakim Brunei termasuk Ketua Hakim Negara, Mahkamah Agung, Dato Seri Paduka Haji Kifrawi bin Dato Paduka Haji Kifli.

Dalam pertemuan itu, pegawai-pegawai Jepun menyampaikan undangan persidangan itu kepada hakim-hakim Brunei dan bertukar-tukar pandangan mengenai kes-kes IP yang telah diuruskan oleh mahkamah kedua-dua negara.

Pegawai-pegawai Jepun tersebut juga turut melawat Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO) pada hari yang sama dan mempelajari tentang sistem undang-undang Brunei untuk perlindungan IP.

Mereka juga dijadualkan untuk bertemu pihak berkuasa Brunei yang lain seperti Persatuan Undang-undang, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Hal Ehwal Ugama semasa berada di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA