Jepun akan musnahkan peluru berpandu Korea U

Jepun akan musnahkan peluru berpandu Korea U

TOKYO, 3 Feb – Menteri Pertahanan Jepun, Gen Nakatani (gambar) hari ini mengarahkan unit peluru berpandu balistik termasuk pemusnah Aegis di Laut Jepun dan peluru Patriot di daratan menembak jatuh sebarang roket Korea Utara yang mengancam negara itu.

Keputusan kerajaan Negara Matahari Terbit itu untuk meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga selepas Korea Utara memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai rancangannya bagi melancarkan satelit seawal minggu depan.

Seandainya Pyongyang berbuat demikian bermakna ia boleh meningkatkan teknologi peluru berpandu jarak jauhnya selepas ujian nuklear keempatnya pada 6 Januari lalu.

Sementara itu, Korea Selatan berkata, rancangan pelancaran satelit berkenaan oleh Korea Utara memang bertujuan melancarkan peluru berpandu jarak jauhnya dan memberi amaran Korea Utara perlu membayar ‘harga yang tinggi’ jika diteruskan. – Reuters