Jepun anjur persidangan siber global

Jepun anjur persidangan siber global

TOKYO, 7 Okt (Bernama) – Berikutan peningkatan baru-baru ini dalam insiden kecurian siber, pengintipan siber dan juga peras ugut siber secara besar-besaran, tiada sesiapa merasa terkejut apabila satu lagi skandal penggodaman mengisi ruang tajuk-tajuk utama.

Persoalan kami sekarang hanyalah, “Bilakah skandal besar berikutnya akan berlaku?” dan “Adakah mana-mana data saya terlibat?” Namun cerita yang lebih besar adalah ledakan pertumbuhan yang berkaitan peranti yang bersambungan dengan Internet. Kesemua komputer dan kesemua telefon bimbit di seluruh pelusuk dunia yang digabungkan kini membentuk satu kelompok minoriti peranti “berwayar”, dan trend itu masih menampakkan peningkatan.

Pertumbuhan besar penyambungan siber akan menuntut tahap keselamatan siber yang tinggi di seluruh dunia, dan tanpa itu, kita hampir pasti akan menyaksikan pertumbuhan jenayah siber yang berterusan, bahkan mungkin juga keganasan siber.

Melihatkan kepada keperluan kritikal untuk menggerakkan ke hadapan perbincangan global ini, Pejabat Kabinet, Kerajaan Jepun telah memutuskan untuk menaja satu acara antarabangsa yang unik, Persidangan Cyber3 Okinawa 2015, yang membawa tajuk kecil “Melakarkan Keselamatan dalam sebuah Dunia yang Kurang Selamat.”

Pada 7 dan 8 November, beratus-ratus pemikir terkemuka dalam pelbagai bidang siber yang berkaitan akan berhimpun di sebuah venue di Okinawa yang sebelum ini digunakan untuk Sidang Kemuncak G8 bagi membincangkan cara terbaik berurusan dengan isu-isu penting “Cyber3”: Sambungan Siber, Keselamatan Siber, dan Jenayah Siber.

ARTIKEL YANG SAMA