Jepun, AS mara ke peringkat 16 terakhir

Jepun, AS mara ke peringkat 16 terakhir

VANCOUVER, 18 Jun (AFP) – Penyandang juara, Jepun dan pemenang pingat emas Olimpik, Amerika Syarikat (AS) meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Piala Dunia Wanita 2015 dengan kemaraan ke peringkat 16 terakhir, hari ini selaku juara kumpulan.

AS yang tumbang kepada Jepun pada final edisi 2011 menyingkirkan Nigeria 1-0 di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium BC Place untuk menjuarai Kumpulan D dengan Jepun mengesah tempat selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Ecuador 1-0.

Pendatang baharu dari Afrika, Cameroon muncul pasukan tunggal dari benua itu untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menewaskan Switzerland 1-0 sekali gus mara selaku juara Kumpulan C.

Australia pula muncul naib juara Kumpulan D selepas seri 1-1 kepada Sweden di Edmonton.

“Saya fikir penyokong kami menakjubkan dan memainkan peranan yang penting pada perlawanan kami malam ini,” kata jurulatih AS, Jill Ellis mengenai sumbangan penyokong AS yang hampir memenuhkan Stadium BC Place yang berkapasiti 53,000 tempat duduk.

Pemain Jepun meraikan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador di Winnipeg kelmarin. – AFP
Pemain Jepun meraikan kemenangan 1-0 ke atas Ecuador di Winnipeg kelmarin. – AFP

“Saya gembira dengan cara permainan kami dan gembira untuk layak daripada kumpulan yang benar benar sukar,” katanya sambil menggambarkan perebutan Kumpulan D sebagai kumpulan maut.

Gol tunggal AS dijaringkan kapten, Abby Wambach yang juga gol ke-183 sepanjang kariernya pada babak pertama menerusi sepakan sudut Megan Rapinoe.

Pemain berusia 35 tahun itu kini memiliki 14 gol di Piala Dunia dan kurang satu daripada pemegang rekod penjaring terbanyak yang dilakukan penyerang Brazil, Marta yang mengumpul 15 jaringan.

ARTIKEL YANG SAMA