Jepun atasi Arab Saudi 2-1

Jepun atasi Arab Saudi 2-1

SAITAMA, Jepun, 15 Nov – Skuad Jepun berjaya menewaskan Arab Saudi 2-1 dalam perlawanan yang dipenuhi dengan kekasaran pada kelayakan piala dunia apabila penalti Hiroshi Kiyotake yang dipertikaikan meningkatkan harapan mereka untuk layak buat kali keenam berturut-turut pada saingan Piala Dunia Rusia 2018.

Pasukan Samurai Biru itu kini di kedudukan sama bersama pendahulu Kumpulan B itu dengan 10 mata selepas pertembungan di Saitama yang bergelora itu, di mana sepakan penalti Kiyotake dan usaha Genki Haraguchi mengurangkan tekanan kepada jurulatih diambang pemecatan Vahid Halilhodzic.

Arab Saudi bagaimanapun mampu menjaringkan gol sagu hati pada minit-minit akhir perlawanan melalui Omar Othman namun ia belum cukup buat pasukan pelawat itu untuk menyamai kedudukan.

Kiyotake menyudahkan sepakan penalti pada separuh masa pertama setelah pemain pertahanan Saudi Abdulmalek Al Khaibiri dipersalahkan kerana menghalang bola menggunakan tangan, meskipun ulang tayang menunjukkan rembatan awal Kiyotake hanya terkena dada Abdulmalek.

Pihak Saudi begitu membantah keputusan pengadil dari Singapura Muhammad bin Jahari dan pergelutan berlaku di antara para pemain, yang meneruskan pertelagahan itu ketika rehat separuh masa.

Jepun kini menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Arab Saudi yang hanya dibezakan dengan jaringan gol. – AFP
Jepun kini menduduki tempat kedua Kumpulan B di belakang Arab Saudi yang hanya dibezakan dengan jaringan gol. – AFP

Haraguchi secara efektif menamatkan harapan Saudi apabila menjaringkan gol dengan rembatan kencang pada minit ke-80.

Othman kemudian meledak bola ke gawang Jepun pada minit ke-90 yang berjaya melepasi garis gawang, meskipun Jepun cuba menyelamatkan bola dengan menyepak bola ke luar.

Harapan Saudi untuk menyamakan kedudukan musnah apabila Osama Hawsawi dilayangkan kad merah setelah menjatuhkan pemain pihak lawan pada masa-masa kecederaan.

Arab Saudi, yang telah gagal untuk layak pada dua kejohanan Piala Dunia lepas, boleh sahaja membuka jurang enam mata jika memenangi perlawanan tersebut. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA