Jepun bakal hasil peluru berpandu

Jepun bakal hasil peluru berpandu

TOKYO, 14 Ogos – Jepun akan menghasilkan peluru berpandu darat-kelaut sebagai sebahagian daripada rancangan untuk mempertingkat pertahanannya di pulau terpencil selatan, tatkala ketegangan dengan China meningkat mengenai wilayah yang dipertikaikan, kata satu laporan hari ini.

Kedua-dua negara dibelenggu dalam perbalahan lama berhubung pulau kecil tanpa berhuni dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Laporan keluar selepas bantahan oleh pegawai kementerian luar Jepun mengenai apa yang digelar oleh Tokyo sebagai “pencerobohan” oleh kapal China di wilayah dan perairan pulau berkenaan.

Tokyo merancang memasang senjata, yang dilaporkan mempunyai jarak 300 kilometer di pulau seperti Miyako di wilayah Okinawa, kata akhbar Yomiuri Shimbun, tanpa memetik sumber.

Jarak itu akan merangkumi rangkaian pulau yang dipertikaikan, kata Yomiuri, menambah pemasangan dijangka diadakan pada 2023.

Pegawai di Kementerian Pertahanan tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.

“Berdasarkan perbuatan provokasi China yang berulang-ulang di sekitar pulau Senkaku, Jepun berhasrat menambah penghalang dengan keupayaan serangan jarak jauh,” kata akhbar.

Peluru berpandu akan dihasilkan oleh Jepun dan akan menggunakan bahan api pepejal, kata Yomiuri, merujuk kepada teknologi yang membenarkan simpanan jangka panjang senjata dan keupayaan untuk dilancarkan dalam notis yang pendek. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA