Jepun batalkan sekatan nuklear ke atas Iran

Jepun batalkan sekatan nuklear ke atas Iran

TOKYO, 22 Jan (Reuters) – Jepun pada hari ini membatalkan sekatan ke atas Iran, mengikut kuasa dunia utama selepas agensi tenaga nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengesahkan pada hujung minggu lalu bahawa Tehran telah mengambil langkah sepenuhnya untuk mengawal program nuklearnya.

Iran bangkit daripada pemulauan ekonomi bertahun-tahun lamanya apabila AS dan negara lain membatalkan sekatan ke atas republik Islam itu.

Aset Iran bernilai berpuluh bilion dolar kini sudah dibuka dan syarikat global yang dilarang daripada menjalani perniagaan di sana sebelum ini boleh mengeksploitasi satu pasaran yang dahagakan segalanya daripada kereta kepada alat ganti kapal terbang.

“Jepun ingin memperkukuh hubungan kerjasama kami dengan Iran dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan Timur Tengah menerusi hubungan mesra tradisional kami dengan Iran,” kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga ketika beliau membuat pengumuman pada satu persidangan akhbar tetap.

Dengan pembatalan sekatan, syarikat insurans Jepun boleh mengeluarkan dasar yang merangkumi urusan perniagaan yang membabitkan Iran. Perniagaan Jepun juga boleh membuat pelaburan baru dalam sektor minyak dan gas Iran.

Satu perjanjian pelaburan di antara Tehran dan Tokyo dijangka ditandatangani tidak lama lagi. Syarikat Jepun telahpun bersedia untuk meneruskan hubungan perniagaan dengan Iran, dengan Suzuki Motor Corp berkata semalam ia sedang menimbang untuk kembali kepada pasaran Iran.

ARTIKEL YANG SAMA