Jepun buat kejutan, tewaskan Afrika Selatan

Jepun buat kejutan, tewaskan Afrika Selatan

UNITED KINGDOM, 20 Sept (AFP/Reuters) – Jepun mencatatkan kejutan terbesar sejak Piala Dunia Ragbi dianjurkan pada 1987 apabila mencatatkan kemenangan sensasi ke atas bekas juara dua kali, Afrika Selatan, 34-32 dalam perlawanan pembukaannya di Brighton semalam.

Percubaan ‘try’ pemain Jepun, Karne Hesketh, pada detik-detik terakhir pertarungan memberikan wakil Asia itu hanya kemenangan kedua dalam sejarahnya beraksi di pentas terbesar dunia sukan itu. Kejayaan terakhir mereka ialah ke atas Zimbabwe pada 1991.

Ketinggalan tiga mata di babak penghujung permainan, Jepun diberikan penalti tetapi kaptennya, Michael Leitch, memilih untuk melarikan bola dalam usaha mencatatkan ‘try’ daripada membuat sepakan penalti yang dapat menyamakan kedudukan.

Benteng pertahanan Afrika Selatan cuba mematahkan serangan Jepun tetapi Hesketh berjaya meloloskan diri dan mencatatkan ‘try’ di penjuru kanan garisan gawang lawan bagi kemenangan terbesar pasukan bergelar ‘Brave Blossom’ itu.

Pemain Jepun Karne Hesketh meraikan bersama-sama rakan sepasukan selepas Berjaya membuat ‘try’ ketiga sekali gus memenangi perlawanan menentang Afrika Selatan. – Reuters
Pemain Jepun Karne Hesketh meraikan bersama-sama rakan sepasukan selepas Berjaya membuat ‘try’ ketiga sekali gus memenangi perlawanan menentang Afrika Selatan. – Reuters

Dibimbing bekas jurulatih Australia, Eddie Jones, Jepun mempamerkan menggabungkan sentuhan-sentuhan menarik dengan semangat juang tinggi untuk membuka kempen Kumpulan B di Piala Dunia Ragbi dengan penuh bergaya.

Kejayaan itu turut dialu-alukan di negara sendiri dengan laungan ‘bersejarah’ menjadi pilihan media-media setempat. Akhbar harian, ‘Nikkan Sports’, turut melaporkan bahawa pencipta filem fantasi ‘Harry Potter’, J.K. Rowling, melalui akaun Twitternya, berkata bahawa beliau sendiri mungkin tidak mampu menghasilkan ‘putaran cerita’ penuh magis seperti yang dicatatkan Jepun itu.

“Pasukan kerdil enggan berpuas hati dengan keputusan seri, bermain untuk menang dan mendapatkannya pada minit terakhir… mungkin di Quidditch tetapi dalam kehidupan sebenar?,” kata penulis itu sambil merujuk kepada permainan fantasi siri popularnya itu.

Ia turut mendorong jurulatih Afrika Selatan, Heyneke Meyer, memohon maaf kepada warga senegaranya yang memang fanatik dalam sukan ini.