Jepun cari 8 kru China

Jepun cari 8 kru China

TOKYO, 11 Ogos – Jepun sedang mencari lapan anggota kru China yang hilang apabila bot perikanan mereka tenggelam setelah berlanggar dengan sebuah kapal kargo Greece berhampiran pulau Laut China Timur pada hari ini, kata pengawal pantai Jepun.

Pengawal pantai, yang menghantar sebuah bot peronda dan kapal terbang ke tapak tersebut selepas menerima satu isyarat daripada kapal kargo, berjaya menyelamat enam anggota lain daripada 14 kru kapal yang tenggelam, beritahu jurucakap pengawal pantai kepada AFP.

“Kami telah memberikan keutamaan kepada usaha mencari dan menyelamat lapan kru yang hilang. Kami belum lagi tahu punca perlanggaran,” katanya. China menyatakan penghargaannya terhadap usaha menyelamat, kata kementerian luar Jepun dalam satu kenyataan.

Kemalangan itu berlaku selepas menteri luar Fumio Kishida pada Selasa menghubungi Cheng Yinghua, duta Beijing ke Tokyo, selepas apa yang digelar oleh Tokyo sebagai ‘pencerobohan’ oleh kapal China berhampiran pulau yang dipertikaikan selama lima hari berturut-turut.

“Keadaan menyelubungi hubungan Jepun-China semakin merosot,” beritahunya kepada Cheng, menurut kenyataan kementerian di laman webnya. Kedua-dua negara dibelenggu perbalahan berlarutan mengenai pulau kecil yang tidak dihuni yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Pengawal pantai Jepun pada Isnin ternampak 15 kapal pengawal pantai China berhampiran pulau berkenaan – jumlah tertinggi yang pernah ditemui di kawasan itu.

Kira-kira 230 kapal nelayan dan tujuh kapal pengawal pantai, termasuk empat yang membawa senjata, belayar ke perairan berhampiran dengan pulau yang dipertikaikan pada Ahad.

Hubungan dua hala telah meningkat dalam tempoh dua tahun lalu, tetapi ketegangan mengenai pulau telah menjadi isu yang menjengkelkan di antara kedua-dua negara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA