Jepun catat defisit perdagangan

Jepun catat defisit perdagangan

TOKYO, 20 Jun (AFP) – Jepun mencatat defisit perdagangan pada Mei, yang pertama sejak Januari, kata kementerian kewangan hari ini, tatkala kekuatan yen memberi tekanan kepada eksport.

Eksport Jepun merosot untuk semua rantau utama, termasuk rakan perniagaan terbesar negara China, tatkala kebimbangan berlarutan mengenai kemelesetan dalam ekonomi terbesar Asia serta pasaran membangun lain.

Kerajaan Perdana Menteri Shinzo Abe telah berusaha untuk mengecil-ngecilkan kekuatan yen, dengan menteri berkali-kali mencadangkan bahawa Tokyo mungkin campur tangan dalam pasaran untuk melemahkan mata wang, tatkala mereka bergegas untuk melindungi ekonomi sebelum pilihan raya parlimen pada Julai.

Kenaikan yen menjejas eksport Jepun dengan menjadikan produk negara lebih mahal di pasaran luar negara dan dengan itu kurang kompetitif.

Kontena dipunggah ke dalam trak-trak dari sebuah kapal kargo antarabangsa di sebuah pelabuhan di Tokyo, 20 Jun. Bagi bulan Mei, Jepun mencatatkan satu defisit 40.72 bilion yen berbanding satu lebihan dagangan 823.18 bilion yen dalam April, ketika eksport besi dan semikonduktor merosot, menurut kementerian kewangan. – AFP
Kontena dipunggah ke dalam trak-trak dari sebuah kapal kargo antarabangsa di sebuah pelabuhan di Tokyo, 20 Jun. Bagi bulan Mei, Jepun mencatatkan satu defisit 40.72 bilion yen berbanding satu lebihan dagangan 823.18 bilion yen dalam April, ketika eksport besi dan semikonduktor merosot, menurut kementerian kewangan. – AFP

Mata wang itu, sering dilihat sebagai selamat, telah meningkat dalam beberapa bulan ini, sebahagiannya disebabkan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi global dan terbaru mengenai kebimbangan tentang kemungkinan Britain akan keluar daripada Kesatuan Eropah dalam referendum pada minggu ini.

Abe juga bersedia untuk melancarkan perangsang seterusnya, tatkala kempen perbelanjaan besar-besaran dan dasar wang mudah dikenali sebagai “Abenomics” gagal mengeluarkan Jepun daripada kekacauan ekonomi berlanjutan lebih tiga tahun selepas program tersebut bermula.

“Yen yang lebih kukuh mengurangkan pendapatan eksport dan harga minyak yang meningkat membatal nilai import,” kata Marcel Thieliant, ahli ekonomi senior Jepun di Capital Economics.

Pemulihan harga minyak akan mendorong Jepun mencatat defisit tambahan pada masa depan, kata beliau.