Jepun dakwa gabenor Okinawa

Jepun dakwa gabenor Okinawa

TOKYO, 17 Nov (Reuters) – Kerajaan pusat Jepun memfailkan tindakan undang-undang hari ini terhadap gabenor Okinawa, menuntut dia mengembalikan semula permit utama kerja untuk menempatkan semula pangkalan udara AS yang menimbulkan perbalahan, dan menambah lagi pertikaian yang mungkin terbukti menjejaskan Perdana Menteri Shinzo Abe dari segi politik.

Tokyo mahu memindahkan pangkalan Futenma marin AS ke bahagian yang kurang sesak di pulau selatan itu, tetapi kebanyakan penduduk Okinawa mahu ia dan ketenteraan AS keluar dari wilayah itu.

Okinawa, medan pertempuran darat berdarah Perang Dunia Kedua, menjadi pangkalan ramai pasukan tentera AS di Jepun dan kebanyakan penduduk geram dengan apa yang mereka lihat sebagai bebanan tidak adil.

Bulan lalu, Gabenor Takeshi Onaga, membatalkan permit yang diizinkan oleh gabenor sebelumnya bagi kerja penebusgunaan yang diperlukan bagi perpindahan pangkalan. Langkah kerajaan untuk menyaman gabenor adalah ekoran keengganannya untuk mengembalikan semula permit itu.

Perintah mahkamah yang memihak kerajaan pusat akan memberikan kuasa kepada menteri tanah untuk menolak tentangan Onaga. Onaga memberitahu para pemberita bahawa dia akan ‘memberi respons dengan tegas.’

Persepsi buli dari Tokyo boleh menjejaskan sokongan bagi Abe, yang telah pun berjuang mengembalikan ekonomi yang dilanda kemelesetan, sebelum pilihan raya dewan tertinggi tahun depan.

Berpuluh-puluh ribu orang di seluruh Jepun menyertai bantahan untuk menyokong pendirian Okinawa dalam tempoh enam bulan lalu.

ARTIKEL YANG SAMA