Jepun desak China henti cari gali

Jepun desak China henti cari gali

TOKYO, 21 Julai – Jepun hari ini mendesak China supaya menghentikan pembinaan platform mencari gali minyak dan gas di Laut China Timur berhampiran perairan dituntut oleh kedua-dua negara, ekoran kebimbangan usaha mencari gali China mungkin mempergunakan takungan yang menganjur ke wilayah Jepun.

Kementerian Pertahanan Jepun menambah desakan itu kepada kajian pertahanan tahunannya selepas anggota parti pemerintah mengadu draf asalnya bersikap terlalu lembut terhadap China, menurut pegawai kementerian.

China meneruskan usaha mencari gali di Laut China Timur dua tahun lalu, kata laporan. Pada tahun 2012, kerajaan Jepun mencetuskan kemarahan Beijing dan membeli satu rangkaian pulau di sana. Sebelum itu, Beijing telah mengawal kegiatan di bawah perjanjian dengan Jepun untuk memajukan sumber di bawah laut di kawasan yang dipertikaikan.

“Kami telah mengesahkan bahawa China telah memulakan pembinaan platform lautan baru dan kami mengulang tentangan kami terhadap pembangunan satu pihak oleh China dan meminta ia dihentikan,” kata kementerian.

Platform sedang didirikan di garisan median China yang menentukan zon ekonomi eksklusif kedua-dua negara, kata pegawai kementerian Jepun.

Tokyo bimbang platform akan menggunakan padang gas yang bertindih dengan garisan median dan juga boleh digunakan sebagai stesen radar atau pangkalan untuk dron atau pesawat udara lain untuk mengawasi aktiviti udara dan laut berhampiran rangkaian pulau kecil, dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China.

Kementerian pertahanan dan luar negara China tidak memberi respons kepada permintaan memberi komen mengenai laporan Jepun.

Laporan tidak mendedahkan butir-butir lokasi atau jumlah platform luar pesisir yang sedang didirikan oleh China.

Laporan setebal 500 muka surat itu, diluluskan oleh kerajaan Perdana Menteri Shinzo Abe, juga memberi komen mengenai Laut China Selatan di mana Jepun dan negara lain telah mengkritik projek penebusgunaan tanah China sebagai ancaman kepada keselamatan serantau. Untuk kali pertama, laporan termasuk gambar satelit pulau buatan manusia China di Laut China Selatan.

“China telah bertindak dengan penebusgunaan tanah di tujuh terumbu di Spratly Islands dan sedang membina infrastruktur di beberapa pulau lain termasuk landasan kapal terbang dan pelabuhan. Bermula dengan AS, ia merupakan satu kebimbangan untuk komuniti antarabangsa,” katanya. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA