Jepun dijangka bina kereta api laju pertama India

Jepun dijangka bina kereta api laju pertama India

TOKYO, 8 Dis – Jepun dijangka akan membina kereta api laju (bullet train) pertama India, dengan Tokyo membiayai projek itu menerusi pinjaman $8 bilion kepada New Delhi, lapor akhbar harian niaga Jepun hari ini.

Nikkei, yang tidak menyebutkan sumber, mengatakan kereta api laju itu akan menghubungkan bandar-bandar Mumbai dan Ahmedabad serta dua buah negara itu akan mengeluarkan kenyataan bersama tentang perjanjian tersebut pada Sabtu semasa lawatan Perdana Menteri Shinzo Abe ke India, yang mana beliau akan bertemu Perdana Menteri Narendra Modi.

Laporan itu muncul selepas Jepun gagal untuk memenangi perjanjian kereta api berkelajuan tinggi di Indonesia awal tahun ini, tidak dapat menyaingi cadangan China.

Perjanjian dengan India itu akan menjadi kes kejayaan kedua pengeksportan teknologi kereta api laju Jepun kepada pasaran luar negeri, berikutan satu perjanjian dengan Taiwan pada 2007, menurut pegawai Jepun.

Dua pegawai dari kementerian pengangkutan dan perdagangan Jepun mengelak untuk mengesahkan kandungan artikel Nikkei, hanya memberitahu AFP yang kerajaan Jepun telah melakukan ‘usaha sangat besar ke arah persetujuan seumpamanya’.

Abe, yang berlepas ke India pada Jumaat, dijangka akan memberitahu Modi yang Jepun akan menyediakan pinjaman 1 trilion yen ($8.1 bilion) pada dekad seterusnya yang akan membiayai lebih separuh daripada kos projek yang dianggarkan bernilai 980 bilion rupee India, menurut Nikkei.

Pengenalan ke atas rangkaian kereta api berkelajuan tinggi dan kereta api laju itu adalah merupakan salah satu janji kempen penting Modi, yang dipilih pada Mei 2014.

Rangkaian kereta api terbesar India menjalankan 12,000 kereta api sehari, membawa 23 juta orang dan menghubungkan kira-kira 8,000 stesen, namun telah berdepan berdekad-dekad pengabaian pada ketika pertumbuhan ekonomi pesat dan semasa pemilik kenderaan semakin bertambah dan penerbangan bajet rendah bagai cendawan tumbuh. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA