Jepun gesa rakyatnya tinggalkan Sudan

Jepun gesa rakyatnya tinggalkan Sudan

TOKYO, 12 Julai – Jepun telah menggesa berpuluh rakyat Jepun termasuk pekerja bantuan di ibu negara Sudan Selatan Juba supaya meninggalkan negara itu dan menghantar pesawat udara tentera untuk memindah mereka di tengah pertempuran baru di negara Afrika itu.

Jepun menghantar pesawat udara pengangkut ke Djibouti di pantai timur Afrika, walaupun masih tidak jelas bagaimana mereka akan terbang sejauh 3,000 kilometer di antara Juba dan Djibouti. Tiga buah pesawat C-130s, yang berlepas dari pangkalan mereka di Komaki 260 kilometer dari barat daya Tokyo lewat semalam, dijangka mengambil kira-kira 70 warga Jepun dari Juba.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata hari ini kerajaan sedang melakukan sedaya upaya untuk melindungi warga Jepun. Beliau berkata tentera pertahanan Jepun yang membina jalan raya dan infrastruktur akan tinggal buat sementara waktu.

Kira-kira 350 tentera Jepun berada di sana sebagai sebahagian daripada operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka berada di kem mereka dan dalam keadaan selamat, kata Menteri Pertahanan Jeneral Nakatani.

Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, pertubuhan yang dibiayai oleh kerajaan, berkata lebih 40 kakitangannya berada dalam keadaan selamat dan menunggu di rumah untuk dipindahkan. Kontraktor JICA terbunuh dalam serangan militan di Bangladesh pada bulan ini.

Agensi berkata keputusan untuk mengeluarkan warga Jepun bukan disebabkan serangan Bangladesh, tetapi disebabkan keadaan keselamatan yang semakin merosot di Juba. – AP

ARTIKEL YANG SAMA