Jepun gigit jari, Iraq gagal bangkit

Jepun gigit jari, Iraq gagal bangkit

SAITAMA, Jepun, 2 Sept – Dalam aksi pembukaan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia di laman sendiri semalam, kesilapan keputusan pengadil menyaksikan Jepun menderita apabila tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jaringan Ahmed Khalil menerusi sepakan percuma dan penalti pada setiap babak menyaksikan UAE bangkit meraih tiga mata penuh walaupun perancang tengah AC Milan, Keisuke Honda meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-11.

Jepun sepatutnya menamatkan aksi itu dengan keputusan 2-2 tetapi pengadil gagal mengesan percubaan Takuma Asano sudah melepasi garisan gol untuk dibawa keluar oleh penjaga gol Khalid Eisa, seperti ditunjukkan ulang tayang TV.

Pengadil dari Qatar, Abdulrahman Al Jassim tidak mengendahkan rayuan skuad Samurai Biru itu yang tumbang sekali lagi kepada UAE, selepas mengharungi detik sama pada pentas suku akhir Piala Asia tahun lalu.

Midfield Jepun Keisuke Honda (dua kanan) menanduk bola untuk menjaringkan gol semasa menentang UAE di Saitama, kelmarin. – AFP
Midfield Jepun Keisuke Honda (dua kanan) menanduk bola untuk menjaringkan gol semasa menentang UAE di Saitama, kelmarin. – AFP

Sementara itu, Australia mengatasi pasukan kerdil Iraq 2-0 dalam kempen sama di Perth, kelmarin selepas penyerang sensasi Massimo Luonga dan Tomi Juric masing-masing menjaringkan gol.

Tuan rumah turun dengan status pilihan tetapi berdepan kesukaran sehingga penyerang QPR, Luongo dan Juric (FC Luzern) memecahkan kebuntuan pada minit ke-58 dan 65.

“Adalah hebat untuk kembali dengan cara begini,” kata Juric, yang dipanggil semula oleh jurulatih Ange Postecoglou selepas terlepas aksi persahabatan menentang Greece, Jun lalu. – AFP