Jepun hantar plutonium ke AS

Jepun hantar plutonium ke AS

TOKYO, 5 Jan (AFP) – Jepun akan menghantar simpanan besar plutonium – cukup untuk menghasilkan 50 bom nuklear – ke Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian dari perjanjian untuk mengembalikan bahan yang telah digunakan bagi penyelidikan, menurut laporan dan para pegawai hari ini.

Simpanan plutonium itu, yang disediakan oleh AS, Britain dan Perancis beberapa dekad lalu, telah mengakibatkan beberapa kebimbangan memandangkan Jepun berkata ia mempunyai kemampuan menghasilkan senjata nuklear meskipun ia memilih untuk tidak berbuat demikian.

Kira-kira 331 kilogram bahan yang boleh belah akan dihantar dengan kapal ke tapak nuklear di South Carolina menjelang akhir Mac, lapor Kyodo News semalam dalam utusan dari Washington yang tidak menyatakan sumber kerajaan jepun.

Penghantaran yang dibuat sebelum sidang mesyuarat keselamatan nuklear di Washington dalam bulan Mac, bertujuan menekankan komitmen kedua-dua negara pada pengawalan senjata nuklear dan adalah sebahagian perjanjian yang telah mereka buat dalam tahun 2014.

Ia akan menjadi salah satu pergerakan plutonium paling penting sejak ia membawa satu tan dari Perancis dalam tahun 1993 untuk digunakan dalam eksperimen reaktor nuklear itu telah mengundang tentangan keras pada ketika itu dari negara-negara yang mengatakan kebimbangan persekitaran dan keselamatan.

Seorang pegawai Jepun mengesahkan jumlah plutonium yang akan dihantar ke AS dan berkata persiapan bagi penghantaran sedang berjalan.

“Tetapi kami tidak boleh mengulas lebih lanjut lagi, termasuklah tarikh berlepas dan laluan, kerana alasan keselamatan,” pegawai di bahagian teknologi nuklear di kementerian pendidikan memberitahu AFP hari ini.

Bahan itu telah disimpan di Institut Penyelidikan Sains Nuklear di timur laut Tokyo, tambahnya.

Jepun begitu bergantung pada teknologi nuklear bagi keperluan tenaganya.

Dalam tahun 2006, menteri luar pada masa itu Taro Aso menimbulkan kepanikan di negara-negara jiran dengan mengatakan Jepun, kuasa besar saintifik dengan banyak menerima anugerah Nobel, telah mengetahui untuk menghasilkan senjata nuklear tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Jepun adalah satu-satunya negara yang pernah diserang dengan senjata nuklear dan di bawah dasar 1967 ia enggan menghasilkan, memiliki atau membenarkan senjata nuklear di buminya sendiri.

Namun pada 2010, Tokyo mengaku pada persetujuan sulit sebelumnya dengan AS untuk membenarkan kapal perang Amerika membawa senjata nuklear menyeberangi wilayah Jepun dan membawa senjata itu ke pangkalan AS di pulau Okinawa dalam keadaan kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA