Jepun pasukan pertama ke pusingan kedua

Jepun pasukan pertama ke pusingan kedua

VANCOUVER, 14 Jun (AFP) – Penyandang juara, Jepun muncul pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia Wanita selepas menumpaskan Cameroon 2-1 semalam, namun Switzerland paling mencuri tumpuan dalam saingan Kumpulan C apabila melakar rekod dengan membelasah Ecuador 10-1.

Sebelas jaringan yang terhasil dalam perlawanan tersebut menyamai rekod kemenangan 11-0 yang dicatat Jerman ke atas Argentina pada 2007.

Fabienne Humm muncul bintang Switzerland apabila hanya memerlukan lima minit untuk melengkapkan hatrik, rekod jaringan terpantas pernah dihasilkan dalam Piala Dunia Wanita.

Switzerland bagaimanapun kekal di tangga kedua dengan tiga mata di belakang Jepun, yang meneruskan kecemerlangan dengan mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Jaringan awal Aya Sameshima dan Yuika Sugasawa memastikan Jepun mengutip tiga mata penting untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Pemain Jepun, Saki Kumagai (kiri) bersaing dengan penyerang Cameroon, Gaelle Enganamouit dalam perlawanan Kumpulan C Piala Dunia Wanita di Stadium BC Place, Vancouver, Kanada semalam. – Reuters
Pemain Jepun, Saki Kumagai (kiri) bersaing dengan penyerang Cameroon, Gaelle Enganamouit dalam perlawanan Kumpulan C Piala Dunia Wanita di Stadium BC Place, Vancouver, Kanada semalam. – Reuters

Pemain pertahanan, Sameshima membuka jaringan ketika saingan memasuki minit keenam, sebelum Sugasawa menambah gol kedua pada minit ke-17. Cameroon yang terdesak untuk bangkit hanya mampu merapatkan jurang pada minit terakhir permainan menerusi Ajara Nchout.

Jaringan itu bagaimanapun tidak berupaya menyekat Jepun daripada menamatkan saingan dengan kemenangan.

“Saya memang menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit dan nyata telahan saya benar.

“Banyak peluang yang berjaya dicipta kedua-dua pasukan. Perlawanan ini amat menarik. Cameroon berjaya menghadirkan tekanan kepada kami sejak awal.

“Kami dipaksa berjuang sehingga penghujung perlawanan,” kata jurulatih Jepun, Norio Sasaki, yang bagaimanapun puas selepas skuad bimbingannya menjadi pa­sukan pertama layak ke peringkat kalah mati.

Jepun mengutip enam mata penuh selepas dua perlawanan, dengan Switzerland menjadi mangsa pertama mereka menerusi kemenangan 1-0 dalam aksi pembukaan.

“Perlawanan ini begitu mencabar, tetapi kami bermain sebagai satu pasukan dan saling membantu. Masih ada masalah yang perlu kami atasi untuk perlawanan akan datang, tetapi secara keseluruhan kami telah bermain dengan baik,” kata kapten Jepun, Aya Miyama.

ARTIKEL YANG SAMA