Jepun peringati 71 tahun Nagasaki

Jepun peringati 71 tahun Nagasaki

TOKYO, 9 Ogos – Bandar Nagasaki, Jepun hari ini memperingati 71 tahun sejak kemusnahannya oleh bom atom AS, dengan datuk bandarnya memuji lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Hiroshima awal tahun ini.

Loceng berbunyi ketika ribuan orang, termasuklah mangsa-mangsa terselamat yang telah meningkat usia dan anggota keluarga mangsa bertafakur selama seminit pada pukul 11:02 pagi, detik sebenar kejadian letupan itu.

Kira-kira 74,000 orang terbunuh dalam letupan awal, manakala beribu-ribu lagi meninggal dunia beberapa bulan atau tahun kemudian kerana sakit akibat radiasi.

Serangan dilancarkan tiga hari selepas AS menggugurkan bom atom yang pertama sekali ke atas Hiroshima, yang akhirnya membunuh 140,000 orang.

Datuk Bandar Nagasaki Tomihisa Taue memuji lawatan bersejarah Obama pada Mei lalu ke Hiroshima – lawatan kali pertama oleh presiden AS yang sedang memimpin.

Orang ramai memperingati mangsa-mangsa sempena majlis memorial menandakan ulang tahun pengeboman atom, di Taman Memorial Perdamaian di Nagasaki, barat Jepun pada 9 Ogos. – AFP
Orang ramai memperingati mangsa-mangsa sempena majlis memorial menandakan ulang tahun pengeboman atom, di Taman Memorial Perdamaian di Nagasaki, barat Jepun pada 9 Ogos. – AFP

“Dengan mengetahui hakikat menjadi titik mula memikirkan masa depan yang bebas senjata nuklear,” kata Taue, yang menggesa para pemimpin dunia lain supaya melawat bandar itu.

Para pegawai setempat dan mereka yang terselamat dari pengeboman itu menggesa bagi kepatuhan ketat pada tradisi pasifisme selepas perang dan mengkritik kerajaan Jepun.

“Kerajaan Jepun, sementara menyokong pemansuhan senjata nuklear, masih bergantung pada pencegahan nuklear,” kata datuk bandar dengan menyifatkannya “keadaan yang bercanggah.”

Datuk bandar Hiroshima Kazumi Matsui Sabtu lalu dalam memperingati pengeboman bandarnya, juga menyentuh tentang lawatan Obama.

Dia berkata lawatan itu adalah bukti Presiden AS berkongsi pandangan bandarnya tentang ‘kejahatan sebenar’ senjata nuklear.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, dalam ucapannya di Nagasaki menyeru para pemimpin dunia supaya menghormati Perjanjian Bukan Pembiakan Nuklear sejagat. – AFP