Jepun peringati ulang tahun ke-7 tsunami

TOKYO, 11 Mac – Warga Jepun di Tokyo dan di sepanjang pantai timur laut memperingati ulang tahun ketujuh tsunami yang meragut lebih daripada 18,000 nyawa dan menyebabkan krisis pencemaran di loji kuasa nuklear Fukushima.

Penduduk di bandar-bandar persisiran pantai bertafakur seketika hari ini selepas siren dibunyikan pada pukul 2:46 petang, waktu yang sama semasa gempa bumi dengan catatan 9.0 magnitud menggegarkan pesisiran pantai yang menyebabkan bencana tsunami pada 11 Mac 2011.

Tsunami telah menenggelamkan benteng laut dan meruntuhkan binaan-binaan, kereta dan keseluruhan kejiranan ketika ia membadai ke daratan.

Nahas itu juga menyebabkan kuasa loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi musnah dan menyebabkan kecairan pada tiga reaktornya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata pada majlis rasmi itu di Tokyo bahawa pembinaan semula menunjukkan perkembangan mantap, namun lebih daripada 70,000 orang masih lagi berpindah dan ramai daripada mereka tidak mempunyai keinginan untuk pulang ke rumah mereka semula.

Orang ramai bertafakur selama seminit bagi memperingati mangsa bencana tsunami 2011 dan nahas gempa bumi di Tokyo kelmarin. – AP

Putera Akishino, anak kedua Maharaja Jepun Akihito, berharap agar tsunami akan meningkatkan kesedaran dan membantu mencegah atau mengurangkan kerosakan akibat bencana alam di masa hadapan.

“Ia adalah harapan saya yang serius, bahawa kita menyampaikan pengetahuan itu kepada generasi akan datang untuk melindungi ramai orang daripada bahaya bencana alam,” katanya.

Dalam acara yang berasingan, beratus-ratus orang bertafakur di Hibiya Park, pusat bandar Tokyo.

Pembersihan di tapak loji nuklear Fukushima yang masih lagi dicemari radioaktif tetap menjadi cabaran yang menggentarkan yang dijangka mengambil masa 30 hingga 40 tahun untuk dilakukan. – AP