Jepun pertahan kehadiran tentera AS

Jepun pertahan kehadiran tentera AS

TOKYO, 6 April – Pangkalan tentera AS tetap penting bagi keselamatan Jepun, perdana Menteri Shinzo Abe berkata dalam satu temu bual hari ini, ketika beliau menolak ulasan calon presiden Republikan, Donald Trump bahawa Tokyo seharusnya dibiarkan mempertahankan dirinya sendiri.

Hubungan Jepun dan Washington telah menjadi asas pertahanannya sejak akhir Perang Dunia II dan negara itu masih menerima 47,000 orang tentera AS.

“Saya tidak boleh membayangkan sebarang situasi pada masa depan yang dapat diramalkan apabila kehadiran AS tidak perlu,” Abe memberitahu The Wall Street Journal(WSJ).

Abe berikrar akan meningkatkan ketenteraan Jepun, tetapi mengelak soalan tentang sama ada Jepun akan memainkan peranan lebih besar dalam pertahanannya sendiri, dengan mengatakan Tokyo akan mengukuhkan hubungannya dengan Washington.

“Dengan mengukuhkan hubungan Jepun-AS, kami akan mengukuhkan pencegahan dan itu akan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini, bukan saja Jepun,” Abe berkata dalam temu bual dengan WSJ, yang diadakan di Tokyo semalam.

PM Shinzo Abe (kanan) bersama Presiden Ukraine, Petro Poroshenko ketika menghadiri taklimat media selepas rundingan di kediaman rasmi Abe di Tokyo, Jepun pada 6 April. - Reuters
PM Shinzo Abe (kanan) bersama Presiden Ukraine, Petro Poroshenko ketika menghadiri taklimat media selepas rundingan di kediaman rasmi Abe di Tokyo, Jepun pada 6 April. – Reuters

Abe juga berkata beliau mahu meneruskan perjanjian besar Trans-Pasifik yang telah dibidas oleh kedua-dua calon presiden Demokrat, Bernie Sanders dan Hillary Clinton.

“Ini adalah kelahiran zon ekonomi yang mempunyai 40 peratus penghasilan kasar domestik dunia, yang dilindungi oleh peraturan bebas dan adil,” Abe memberitahu WSJ, dengan merujuk kepada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), perjanjian besar berbilang negara yang mana Jepun dan AS adalah pihak yang berperanan penting.

“Melaluinya, AS, Jepun dan negara-negara lain yang terlibat dalam TPP akan mencapai keuntungan besar dan peluang pertumbuhan.”

Ulasan Abe dibuat selepas Trump berkata hubungan AS dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan memerlukan kos yang terlalu banyak untuk dikekalkan dan mereka seharusnya bertanggung jawab bagi pertahanan mereka sendiri – melainkan mereka menanggung lebih bagi bebanan kos. – AFP