Jepun pilih KL sebagai hab serantau

Jepun pilih KL sebagai hab serantau

SERI KEMBANGAN, 10 Dis – Pembekal kandungan berbentuk hiburan dari Jepun, Kadokawa Corporation telah beralih ke Kuala Lumpur (KL) bagi menjadikan ia sebagai hab untuk pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Ini adalah berikutan pengambilalihan pegangan sebanyak 80 peratus dalam Malaysian Art Square Group (ASG) oleh anak syarikat Kadokawa, iaitu Kadokawa Holdings Asia Ktd yang berpangkalan di Hong Kong.

ASG akan dikenali sebagai Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd bermula dari bulan depan dan akan berkhidmat sebagai tapak pembangunan bagi kedua-dua pasaran berpotensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz Sdn Bhd, Yew Chen Han berkata keutamaan akan diberikan bagi mengukuhkan penciptaan kandungan asal untuk Bahasa Malaysia, Bahasa Indonesia dan pasaran bahasa Arab.

“Sumbangan luar negara untuk pendapatan syarikat dijangka naik sebanyak 40 peratus selepas dipacu oleh jualan komik,” katanya sambil menambah bahawa pendapatan semasa syarikat itu berjumlah kira-kira RM30 juta.

Kadokawa Corporation hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman dengan InvestKL untuk menandakan pemilihan Greater Kuala Lumpur sebagai gerbang strategik ke dalam rantau ini oleh kumpulan itu.

Yew juga memberitahu hasil daripada penerbitan komik dijangka meningkat sebanyak tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA