Jepun protes kapal laut China hampiri pulau

Jepun protes kapal laut China hampiri pulau

TOKYO, 9 Jun – Sebuah kapal tentera laut China belayar ke perairan sekitar pulau Laut China Timur untuk kali pertama pada awal hari ini, mendorong Tokyo memanggil duta China untuk mengemukakan bantahan, kata kerajaan Jepun.

Kapal tentera laut Rusia juga dilihat di kawasan itu pada masa yang sama.

Kapal tentera laut China memasuki perairan sekitar pulau kecil yang ditadbir oleh Tokyo, digelar Senkaku di Jepun dan juga dituntut sebagai pulau Diaoyu oleh China, pada kira-kira 12:50 pagi, menurut kemente-rian luar Jepun.

Ia adalah frigat kelas Jiangkai seberat 3,963 tan, dilihat oleh kapal pembinasa Jepun Setogiri, kata kementerian pertahanan Jepun.

Perairan bersempadan itu adalah kawasan 12 batu nautika yang terbentang ke perairan wilayah. Di bawah peraturan antarabangsa, mereka bukan di bawah kawalan mana-mana negara, walaupun kuasa residen mempunyai hak terbatas.

“Disebabkan China menghantar sebuah kapal tentera laut ke perairan bersempadan dengan Pulau Senkaku kami untuk kali pertama merupakan satu perbuatan yang menambah ketegangan dan negara kami berasa amat bimbang,” beritahu Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga pada taklimat.

Hubungan di antara Jepun dan China merosot pada 2012 apabila Tokyo “memiliknegarakan” beberapa pulau kecil. Sejak itu, kedua-dua ekonomi terbesar Asia telah mengambil langkah berperingkat-peringkat untuk berdamai tetapi hubungan masih tegang.

Timbalan Menteri Luar Jepun Akitaka Saiki memanggil duta China Cheng Yonghua pada kira-kira 2:00 pagi untuk mengemukakan satu bantahan. Saiki “meluahkan kebimbangan dan membantah, sementara menuntut kapal meninggalkan zon negara kami dengan serta merta,” kata kenyataan kementerian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA