Jepun rancang tarik 300,000 pelajar antarabangsa

Jepun rancang tarik 300,000 pelajar antarabangsa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Jumlah penuntut Negara Brunei Darussalam yang melanjutkan pendidikan mereka ke luar negara menunjukkan peningkatan dan destinasi bagi mereka untuk melanjutkan pendidikan mereka tidak lagi terhad kepada negara-negara barat tetapi juga ke negara-negara serantau dan Asia.

Sehubungan dengan itu, Jepun amat mengalu-alukan lebih banyak penuntut yang berkelayakan dari Negara Brunei Darussalam untuk memilih Jepun sebagai destinasi melanjutkan pendidikan mereka.

Harapan itu dikongsi oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA) yang berlangsung di Hotel Badi’ah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Beliau berharap dengan kerjasama erat di antara Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan BAJA, ia dapat menarik minat lebih banyak penuntut yang berkelayakan dari Brunei untuk memilih Jepun sebagai destinasi melanjutkan pendidikan mereka.

Beliau yakin bahawa kerjasama erat kedua belah pihak itu dapat memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai institusi pengajian tinggi dan juga mengenai program-program pendidikan yang ditawarkan di Jepun.

Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar-ramai dengan Jawatankuasa Eksekutif BAJA yang baru dilantik.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bergambar-ramai dengan Jawatankuasa Eksekutif BAJA yang baru dilantik.
Dr. Chin menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis itu.
Dr. Chin menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis itu.

Puan Yang Terutama turut mendedahkan bahawa Jepun mempunyai perancangan yang besar bagi mengalu-alukan seramai 300 ribu pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi Jepun menjelang 2020.

Pada masa ini, ulasnya lagi, jumlah pelajar antarabangsa yang belajar di Jepun adalah hanya kira-kira 140 ribu orang di mana kira-kira 92 peratus pelajar berkenaan adalah pelajar-pelajar dari negara-negara jiran Asia.

Terdahulu, Presiden BAJA, Dr. Chin Wei Kei dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan di atas sokongan berterusan yang diberikan oleh kerajaan Jepun dan Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam kepada BAJA dalam mengendalikan pelbagai program BAJA untuk mencapai matlamat persatuan dalam mempromosikan dan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan di antara kedua buah negara.

Beliau berkata bahawa tempoh dua tahun yang akan datang merupakan masa yang amat penting bagi BAJA kerana persatuan itu bakal meraikan ulang tahun penubuhannya ke-30 tahun di mana pada 2017 nanti, BAJA akan menjadi hos kepada Persidangan ASCOJA di mana persatuan-persatuan alumni dari 10 negara anggota ASEAN dan Jepun akan menyertai persidangan berkenaan.

Walaupun tugasan itu merupakan satu tugas yang besar, ulas Dr. Chin lagi, beliau yakin bahawa setiap ahli BAJA mampu menyahut seruan dan menjadikan acara itu nanti satu kejayaan.

Pada masa yang sama, beliau percaya bahawa persidangan itu merupakan satu platform dan peluang yang baik bagi para ahli BAJA untuk membangunkan serta meningkatkan lagi diri mereka ke tahap yang lebih tinggi.

ARTIKEL YANG SAMA