Jepun sedia untuk yang ‘lebih besar’

Jepun sedia untuk yang ‘lebih besar’

TOKYO, 31 Mei (AFP) – Ahli-ahli seismologi hari ini memberi amaran kepada Jepun supaya terus berwaspada bagi kejadian ‘Yang Besar’ akan datang, selepas gempa bumi kuat dengan 7.8 magnitud melanda pantai negara yang cenderung dilanda gempa bumi itu, yang mencederakan dua belas orang.

Bangunan-bangunan bergoyang sekitar seminit di Tokyo dan kawasan sekitarnya malam semalam apabila gempa bumi melanda tempat terpencil di Laut Pasifik kira-kira 874 kilometer selatan ibu negara, menurut Tinjauan Geologi AS (USGS).

Di sebalik kekuatannya, tidak ada risiko tsunami kerana pusat gempa pada 676 kilometer bawah permukaan bumi, menurut USGS dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Dua belas orang tercedera, termasuklah seorang lelaki berusia 56 tahun yang mengalami patah tulang rusuknya, tetapi tidak sesiapa pun terkorban, menurut seorang pegawai Jabatan Bomba Tokyo dan media tempatan hari ini.

Kira-kira 400 orang terperangkap di dek pemerhatian Menara Tokyo ketika lif terhenti lebih sejam.

Landasan di Lapangan Terbang Haneda di Tokyo telah ditutup kira-kira selama 30 minit, dengan kereta api juga terhenti sekejap, manakala satu perlawanan bola sepak di bandar itu ditangguhkan sementara.

Tidak ada laporan kejanggalan di mana-mana loji tenaga nuklear di rantau itu.

Gempa bumi besar bawah laut yang berlaku pada Mac 2011 telah mencetuskan tsunami yang melanda pantai timur laut Jepun, mengorbankan beribu-ribu orang dan mencairkan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima.

Bencana nuklear, yang paling teruk di dunia sejak Chernobyl, telah mengakibatkan berpuluh-puluh ribu orang berpindah tempat dan mengakibatkan kawasan-kawasan tanah tidak dapat didiami, kemungkinan selama beberapa dekad.

Gempa bumi semalam adalah gegaran kedua agak besar yang telah dialami di Tokyo dalam tempoh seminggu selepas gempa bumi yang kurang kuat dan jauh lebih perlahan yang melanda hampir ke ibu negara Isnin lalu.

ARTIKEL YANG SAMA