Jepun sertai latihan perang AS-Australia

Jepun sertai latihan perang AS-Australia

SYDNEY, 5 Julai (AFP) – Amerika Syarikat dan Australia melancarkan satu latihan tentera bersama hari ini, dengan Jepun mengambil bahagian untuk kali pertama tatkala ketegangan dengan China berhubung perbalahan wilayah bakal meletus mengenai latihan berkenaan.

Latihan ‘Talisman Sabre’ selama dua minggu di Northern Territory dan Queensland membabitkan 30,000 kakitangan dari AS dan Australia berlatih operasi di laut, di udara dan di darat.

Kira-kira 40 kakitangan daripada tentera Jepun, Tentera Pertahanan Darat (JGSDF), akan menyertai kontinjen Amerika, sementara lebih daripada 500 tentera dari New Zealand juga terlibat dalam latihan itu, yang berakhir pada 21 Julai.

“Ia adalah gabungan yang amat penting,” kata Perdana Menteri Tony Abbott pada Jumaat di Sydney di kapal USS Blue Ridge, yang sedang mengambil bahagian dalam latihan tersebut, merujuk kepada hubungan Australia-AS.

“Ia adalah hubungan yang amat penting dan buat masa sekarang kami sedang menghadapi cabaran yang besar di kebanyakan kawasan di dunia terutamanya di Timur Tengah.”

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (tengah) bercakap dengan para kelasi selepas menaiki kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Blue Ridge ketika ia memasuki Sydney Harbour, Australia pada 3 Julai. – Reuters
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott (tengah) bercakap dengan para kelasi selepas menaiki kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Blue Ridge ketika ia memasuki Sydney Harbour, Australia pada 3 Julai. – Reuters

Latihan perang itu, sedang diadakan untuk kali keenam, dilancarkan tatkala China menunjukkan kekuatan strategik dan ekonominya di rantau itu.

Beijing telah membina pulau tiruan dan kemudahan di perairan yang dipertikaikan di Laut China selatan, dan mempunyai perbalahan wilayah berasingan dengan Jepun berhubung pulau Senkaku yang dikawal oleh Tokyo, yang digelarnya Diaoyus, di Laut China Timur.

“Terdapat mesej halus yang disebarkan bahawa pada setiap peringkat, daripada perkakasan kepada kepakaran dan kerjasama teknikal dan strategik, sekutu utama Amerika dan Amerika sedang bekerjasama dengan amat erat disebabkan China,” beritahu John Lee, pakar China di Universiti Sydney, kepada AFP.

“Ia pasti dikaitkan dengan tanggapan bahawa China semakin mendesak dan nampaknya ia memperuntukkan wang dalam keupayaan tentera untuk menyokong sifat pendesaknya di Laut China Selatan.”

Beijing menolak kritikan AS tentang kerja-kerja penebusgunaan di Laut China Selatan ketika mesyuarat Dialog Shangri-La tahunan pada Mei lalu dengan mengatakan, ia hanya menggunakan kedaulatannya.