Jepun siasat wartawan kena culik di Syria

Jepun siasat wartawan kena culik di Syria

TOKYO, 24 Dis (AFP) – Jepun hari ini berkata ia sedang menyiasat tentang laporan penculikan seorang wartawan negara itu di Syria oleh kumpulan bersenjata, selepas dua warganegaranya dipancung awal tahun ini.

Kumpulan hak asasi media, Reporters Without Borders (RWB) berkata Jumpei Yasuda, seorang wartawan bebas diculik pada Julai ketika dia menyeberangi sempadan ke negara itu dan masih dijadikan tebusan oleh kumpulan tersebut, yang tidak dinyatakan namanya.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga enggan terus mengesahkan laporan itu apabila ditanya tentangnya pada taklimat biasa media, tetapi menekankan bahawa kerajaan wajib memastikan keselamatan warganegara Jepun.

“Kami melakukan yang terbaik dan menggunakan sepenuhnya pelbagai rangkaian perisikan,” tambahnya, tanpa mengulas lebih lanjut.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Shinzo Abe menubuhkan unit baru untuk mengutip dan menganalisis maklumat tentang keganasan sejagat yang bertumpu di empat kawasan, termasuklah Timur Tengah.

RSF pada Isnin lalu berkata kumpulan bersenjata itu telah memulakan pengiraan detik bagi pembayaran wang tebusan, ‘kegagalan pembayaran, mereka mengancam akan membunuhnya atau menjualnya kepada kumpulan pengganas lain.”

ARTIKEL YANG SAMA