Jepun sokong firmanya di Thailand

Jepun sokong firmanya di Thailand

TOKYO, 14 Okt – Pelabur asing terbesar Thailand, Jepun hari ini berkata ia akan memberi sokongan kepada firma-firmanya di negara beraja itu ketika kebimbangan meningkat bahawa kemangkatan raja yang sangat disayangi boleh menjejaskan ekonominya.

Jepun memiliki lebih 4,000 buah syarikat yang beroperasi di Thailand, yang digelar ‘Detroit of Southeast Asia’, ekoran bilangan besar kilang pengeluar automobil.

“Kerajaan akan memberikan sokongan sewajarnya kepada syarikat-syarikat Jepun jika perlu supaya impak ke atas syarikat-syarikat itu akan kekal minimum,” jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Yoshihide Suga memberitahu penerangan ringkas media biasa.

Dia tidak mengulas lebih lanjut tentang jenis bantuan itu – kewangan atau sebaliknya yang mungkin diberikan oleh Tokyo.

Kebimbangan berhubung masa depan negara itu berpanjangan dengan keuzuran raja yang paling lama memerintah di dunia itu, yang telah berperanan penting sebagai pengantara pada ketika kekusutan politik ketika dalam tempoh pemerintahannya selama tujuh dekad.

Raja Bhumibol Adulyadej mangkat semalam pada usia 88 tahun setelah lama uzur.

“Gangguan ketara adalah berkemungkinan,” John Marrett, penganalisis penyelidikan dari Economist Intelligence Unit, berkata dalam satu komentar.

“Kami menjangkakan kelembapan dalam ekonomi Thailand dalam tempoh 12 bulan akan datang.”

Saham-saham Thailand melambung hari ini selepas jatuh minggu ini ketika penganalisis memberi amaran tentang kemungkinan kesan sampingan – politik dan ekonomi, akibat kemangkatan raja.

Syarikat gergasi automobil Jepun, Toyota dan Honda berkata urusan adalah seperti biasa bagi kilang mereka di Thailand.

Namun media Jepun memetik orang dalam firma itu di Thailand yang tidak didedahkan identitinya yang berkata mereka bimbang mereka mungkin terpaksa menutup kilang kerana para pekerja Thailand mungkin keberatan untuk bekerja ketika negara berkabung di atas kemangkatan raja.

Dalam mengeluarkan produk baru dalam tempoh berkabung selama setahun mungkin dilihat suram, tambahnya.

“Kilang-kilang kami di Thailand akan terus beroperasi seperti biasa minggu ini,” jurucakap Toyota, Itsuki Kurosu berkata tentang tiga kilang syarikat gergasi automobil itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA