Jepun tarik nafas lega

Jepun tarik nafas lega

SAITAMA, Jepun, 6 Okt – Jaringan kemenangan Hotaru Yamaguchi pada minit ke-95 berjaya menyelamatkan kempen kelayakan Piala Dunia Jepun yang tidak menentu selepas mengharungi detik cemas dengan kemenangan 2-1 ke atas Iraq, sebentar tadi.

Samurai Biru dilihat bakal seri di Saitama, bagaimanapun Yamaguchi memecah kebuntuan dengan memanfaatkan bola longgar dari sudut mencelah kaki pemain sehingga membolosi gawang Iraq.

Hasilnya memberikan Jepun kemenangan kedua dalam tiga pusingan akhir kelayakan, sekali gus meningkatkan saham jurulatih Vahid Halilhodzic selepas digesa meletakkan jawatan dan dilaporkan menghadapi pergolakan dengan pemain.

Kemenangan ini juga menjulang harapan Jepun untuk layak ke Piala Dunia buat kali keenam berturut-turut pada 2018 ketika berkongsi mata buat sementara waktu dengan pendahulu Kumpulan B, Australia dan Arab Saudi yang akan bertemu kemudian.

Yamaguchi (tiga kiri) meraikan jaringan kemenangan menentang Iraq untuk aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan B di Saitama, semalam. – AFP
Yamaguchi (tiga kiri) meraikan jaringan kemenangan menentang Iraq untuk aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan B di Saitama, semalam. – AFP

Jepun mendominasi awal perlawanan tetapi jarang mengancam lawan, dengan penyerang Borussia Dortmund menonton dari bangku simpanan, sehingga pada minit ke-11 apabila Hiroshi Kiyotake hampir menemui gol.

Tetapi Genki Haraguchi meletakkan tuan rumah di depan selepas berjaya menyambut hantaran silang Kiyotake dan meloloskan bola di celah kaki penjaga gol Mohammed Hameed pada minit ke-26.

Iraq hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tetapi voli Alaa Abdul Zahra dapat diselamatkan oleh penjaga gol Jepun Shusaku Nishikawa.

Bagaimanapun, Iraq menggegarkan juara Asia empat kali itu pada minit ke-60 apabila Saad Luaibi menguis sepakan percuma Ahmed Yaseen untuk merobek gawang Nishikawa. – AFP