Jepun tumbang, Australia tepati ramalan

Jepun tumbang, Australia tepati ramalan

LONDON, 25 Sept (Reuters) – Scotland membuktikan Jepun adalah buih yang mudah dipecahkan manakala kuasa ragbi tradisi Australia memulakan kempen mereka dengan meraih kemenangan sukar ke atas Fiji sementara Perancis mencatat kemenangan kedua setelah mengalahkan Romania dalam kempen Piala Dunia semalam.

Jepun telah memintas Scotland dalam ranking dunia selepas mencipta kemenangan mengejut ke atas juara dua kali Afrika Selatan Sabtu lalu, tetapi nampaknya kehilangan tenaga di Gloucester apabila tewas 45-10 dalam Kumpulan B.

Australia mengatasi Fiji 28-13 dalam Kumpulan A tetapi gagal meraih mata bonus try keempat seperti yang dilakukan England ke atas pasukan dari Pasifik itu dalam perlawanan pembukaan kejohanan. Perancis pula mengalahkan Romania 38-11 dalam Kumpulan D di Stadium Olimpik London.

Jepun gagal mengekalkan rentak bertenaga seperti sewaktu menentang Afrika Selatan apabila permainan penuh semangat Scotland pada babak kedua membolehkan mereka mencipta lima try, dua oleh pemain tengah Mark Bennett.

“Bukan kami kurang fokus, cuma kami tidak menyudahkan dengan bagus,” kata jurulatih Jepun Eddie Jones.

Australia agak berkarat ketika menentang Fiji di Cardiff. Pemain jersi No. 8 David Pocock mendapat dua try pada babak pertama untuk meletakkan Australia di kedudukan selesa dan try oleh prop Sekope Kepu tidak lama selepas babak kedua bermula melegakan mereka.

Pemain sayap Sofiane Guitoune pula menghasilkan dua try untuk Perancis yang melakukan lima try ketika menentang Romania. – Reuters

Sementara itu pemain lock Argentina, Mariano Galarza digantung permainan selama sembilan minggu kerana sengaja mencederakan mata pemain New Zealand, Brodie Retallick sewaktu pasukan Puma kalah kepada All Black dalam perlawanan Kumpulan C di Wembley Ahad lalu.

ARTIKEL YANG SAMA