Jerayawara 3PK diteruskan

Jerayawara 3PK diteruskan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Dengan objektif untuk menanamkan kesedaran mengenai kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, Kementerian Kesihatan telah meneruskan Jerayawara Program Perkesankan Pemeriksaan Kesihatan (3PK) bagi lebih 15,500 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

Program berkenaan akan berjalan selama lima minggu bermula kelmarin hingga 23 Mei ini, di Dewan P1, Kementerian Pendidikan, di mana seramai 60 orang pegawai dan kakitangan yang berusia 40 tahun ke atas akan diperiksa setiap pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Program berkenaan adalah bagi melakukan pengesanan awal risiko kesihatan dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan berusia 40 tahun ke atas terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit supaya intervensi awal bagi rawatan dan pencegahan dapat dibuat.

Pegawai Jururawat, Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah (PAPHMHB), Gadong, Dayang Cathrina binti Haji Mohd Sigie Al-Islam ketika ditemu bual memberitahu, terdapat kira-kira 2,000 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan di keempat-empat daerah.

“Jadi jerayawara kali ini adalah menumpukan pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan di Daerah Brunei dan Muara sahaja, sehingga sampai satu masa nanti maka jerayawara itu akan dilaratkan keluar daerah untuk pegawai dan kakitangan kerajaan di luar daerah,” jelasnya.

Kira-kira 12 kakitangan Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Kira-kira 12 kakitangan Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

Menjelaskan mengenai Jerayawara 3PK berkenaan, beliau berkata ia pertama kali diadakan di Kementerian Kesihatan diikuti di Kementerian Pembangunan, dan selepas Kementerian Pendidikan ini ia akan dilanjutkan bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan.

“Hanya pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak memiliki rekod kesihatan di hospital yang tidak memakan mana-mana ubat seperti darah tinggi, kencing manis dan apa juga penyakit kronik yang tidak berjangkit, menjalani pemeriksaan kesihatan di jerayawara ini,” ujarnya.

Beliau berkata, setiap pegawai dan kakitangan akan menjalani pemeriksaan berat badan, tekanan darah, gula dalam darah, tahap kolesterol dan diakhiri dengan khidmat kaunseling.

“Jika didapati mana-mana pegawai dan kakitangan yang menunjukkan simptom-simptom awal penyakit kronik yang tidak berjangkit, akan dirujuk kepada doktor atau pakar-pakar jika perlu,” tambah beliau lagi.

Dr Hajah Mustazah ketika ditemu bual.
Dr Hajah Mustazah ketika ditemu bual.

Objektif lain jerayawara ini adalah untuk memberi peluang kepada orang awam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengetahui akan risiko penyakit tidak berjangkit dan seterusnya mendapatkan rawatan dan atau khidmat nasihat awal mengenai kesihatan mereka jika perlu.

Sementara itu, temu bual bersama Pegawai Psikologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Mustazah binti Awang Maidin berkata, jerayawara seperti ini sesuatu yang baik, di mana di mana pegawai dan kakitangan yang berumur 40 tahun ke atas dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Seperti yang kita maklum mereka yang berusia 40 tahun ke atas lebih mudah menghidap penyakit kronik,” ujarnya sambil menambah, dengan pemeriksaan itu langkah-langkah awal pencegahan penyakit kronik dapat dilakukan, yang mana mencegah lebih baik dari mengubati dan kos perubatan juga boleh dikurangkan.

Beliau menambah, inisiatif ini perlu dilaratkan sampai bila-bila kepada semua warga Kementerian Pendidikan khasnya warga penjawat awam dan semua warga Brunei terutama yang berumur 40 tahun ke atas.

“Kesinambungan daripada program ini juga perlu diteruskan, mungkin dengan mengadakan aktiviti-aktiviti sukan sekurang-kurangnya dua kali dalam setiap bulan bermula dengan peringkat jabatan, kementerian dan selanjutnya negara,” saran beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA