Jerayawara 3PSA bagi warga perkhidmatan awam

Jerayawara 3PSA bagi warga perkhidmatan awam

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Bagi memberikan kefahaman kepada warga perkhidmatan awam mengenai Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) yang telah dilancarkan pada 28 Mac yang lalu, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan (MSD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menganjurkan Jerayawara 3PSA Melalui Penarafan Bintang bermula hari ini hingga 7 Mei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MSD, wakil dari setiap kementerian dan jabatan kerajaan telah dijemput untuk menghadiri jerayawara empat hari berkenaan yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Bangunan Bahirah, Jabatan Audit, JPM.

Jerayawara hari ini telah dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Awang Aminuddin bin Haji Buntar, tayangan video promo dan taklimat 3PSA, sebelum diakhiri dengan sesi soal jawab.

Di samping memberi kefahaman mengenai 3PSA, jerayawara ini juga bertujuan sebagai persediaan bagi agensi-agensi kerajaan untuk dinilai melalui 3PSA.

Program penggredan ini merupakan sistem penilaian untuk mengukur prestasi agensi kerajaan, yang dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran warga perkhidmatan awam akan kepentingan untuk meningkatkan prestasi, kualiti dan produktiviti kerja, membantu memperkesankan usaha penambahbaikan atau pembaharuan dalam perkhidmatan awam, menggalakkan promosi meluas mengenai dasar, strategi, mekanisme dan amalan terbaik dalam perkhidmatan awam, memberi penghargaan dan pengiktirafan serta menggalakkan persaingan sihat antara agensi kerajaan.

Inisiatif ini juga dihasratkan akan dapat memberi dorongan dan motivasi dalam kalangan agensi kerajaan khasnya dan warga perkhidmatan awam amnya ke arah mencapai matlamat Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke-21 dan Wawasan Brunei 2035.

ARTIKEL YANG SAMA