Jerayawara AMBD dapat sambutan

Jerayawara AMBD dapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 16 Mei – Jerayawara sempena Hari Menabung Kebangsaan 2016 telah diteruskan lagi hari ini di Daerah Belait, di mana ia diadakan di Sekolah Rendah (SR) Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof, di sini.

Jerayawara anjuran Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) itu turut dibukakan untuk penyertaan sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta lainnya di daerah ini.

Pengurus Kanan AMBD, Dayang Rina Hayane binti Haji Sumardi, semasa ditemui memberitahu bahawa jerayawara tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan budaya menabung bagi menjamin kesejahteraan seseorang dari segi kebebasan kewangan.

Menurutnya, selaras dengan tema tahun ini ‘Generasi Celik Kewangan’, institusi-institusi yang berkaitan termasuk TAP dan Junior Achievement terlibat mengadakan beberapa aktiviti interaktif khusus bagi pelajar-pelajar dari 10 buah sekolah rendah daerah ini yang hadir.

Para Pelajar dari 10 buah sekolah rendah di Daerah Belait semasa mengunjugi Jerayawara sempena Hari Menabung Kebangsaan di SR Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof Seria.
Para Pelajar dari 10 buah sekolah rendah di Daerah Belait semasa mengunjugi Jerayawara sempena Hari Menabung Kebangsaan di SR Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof Seria.

“Permainan atau aktiviti yang disediakan bertemakan pengurusan kewangan di mana pelajar-pelajar perlu membuat keputusan yang bijak menggunakan kewangan seperti menyediakan bajet perbelanjaan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, selain jerayawara itu, AMBD juga akan mengadakan Financial Fun Fair pada 22 Mei ini di Jerudong Park Colonnade, jam 3 petang hingga 9 malam yang akan menampilkan pelbagai program keluarga dan aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan secara berhema. Sementara Pameran Perancang Kewangan pula akan diadakan pada 28 Mei nanti.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai untuk mengunjungi acara itu nanti.

Maklumat lanjut mengenai dengan Hari Menabung Kebangsaan, boleh didapati dengan melayari laman web www.ambd.gov.bn/nsd2016 atau menghubungi AMBD melalui e-mel corpcomms@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA