Jerayawara beriga laman web baru APTK

Jerayawara beriga laman web baru APTK

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Untuk memberigakan laman sesawang baru Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK), www.JOBCENTREBRUNEI.gov.bn, kepada orang awam khususnya majikan di sektor swasta dan pencari kerja tempatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), melalui APTK akan mengadakan jeryawara APTK 2015 di keempat-empat daerah.

Jerayawara akan dimulakan di Daerah Belait pada 10 Oktober ini di Lorong 14 Barat Penaga, Bangunan Supa Save, kemudian di Daerah Tutong pada 17 Oktober di Block A Bangunan Petani Mall, di Daerah Temburong pada 21 Oktober di Kompleks Bumiputra, Pekan Bangar dan Daerah Brunei dan Muara pada 25 Oktober di Airport Mall, Berakas.

Ia akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang kecuali di Daerah Temburong yang hanya akan diadakan sehingga pukul 3 petang.

Timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali semasa sidang media di KHEDN, di sini, hari ini, berkata jerayawara ini diharap akan dapat menarik lebih ramai majikan supaya mendaftar dan melaporkan kekosongan dalam sistem ini untuk mengetengahkan anak-anak tempatan bagi mengisikan peluang-peluang pekerjaan.

Sepanjang jerayawara ini, tambah beliau, orang awam juga akan diberi peluang untuk menyesuaikan diri dengan tatacara pendaftaran, pengiklanan jawatan kosong, permohonan kerja dan perkhidmatan APTK secara online.

Haji Idris menjelaskan mengenai jerayawara APTK yang akan diadakan di keempat-empat daerah semasa sidang media di KHEDN, semalam.
Haji Idris menjelaskan mengenai jerayawara APTK yang akan diadakan di keempat-empat daerah semasa sidang media di KHEDN, semalam.

Pada masa yang sama, ia memberi pendedahan kepada pencari-pencari kerja tempatan akan terdapatnya pelbagai jenis pekerjaan di sektor swasta untuk dimanfaatkan.

Sebagai tambahan, ia memberi kemudahan kepada para pencari kerta tempatan dan majikan untuk lebih mengetahui akan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh APTK.

Menurut beliau lagi, jerayawara ini juga akan memberikan pengetahuan kepada majikan-majikan di sektor swasta mengenai kesedaran tentang pentingnya Perintah Pekerjaan 2009 sebagai undang-undang utama yang mengawal terma-terma dan syarat pekerjaan di Negara Brunei Darussalam.

“Jerayawara APTK 2015 ini akan menawarkan beberapa perkhidmatan seperti pendaftaran pencari kerja tempatan secara online dan tatacara penggunaannya, pendaftaran majikan yang menawarkan jawatan kosong secara online dan tatacara penggunaannya, kaunter bimbingan kerjaya, tatacara membuat CV dan persediaan menghadiri temu duga, dan pemberigaan Perintah Pekerjaan 2009 dan tidak ketinggalan juga, APTK dan sektor swasta juga akan menyediakan petak temu duga ringkas,” jelas beliau.

Para majikan yang berminat untuk mengambil anak tempatan juga dialu-alukan hadir untuk mendaftar dengan hanya perlu membawa borang ROC (Register of Company), Borang X atau Lesen 16 & 17 serta lesen pengambilan pekerja asing dalam bentuk softcopy jika ada.

Sementara itu, para pencari kerja tempatan yang ingin mendaftar, disarankan supaya membawa gambar berukuran pasport, kelulusan tertinggi, kad pengenalan dan lain-lain dokumen yang berkaitan dalam bentuk softcopy jika ada.

APTK akan menyediakan peralatan dan kemudahan seperti pengimbas, iPad, komputer riba dan Internet bagi mereka yang tidak mempunyai peralatan dan kemudahan yang diperlukan.

Sementara itu, perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), baru-baru ini, menunjukkan bahawa bilangan rakyat dan penduduk tetap berumur 18 hingga 59 tahun, yang menganggur bagi bulan Julai 2015 telah meningkat kepada 14,257 orang berbanding 14,065 orang pada Jun 2015.

Daripada jumlah tersebut, seramai 9,703 orang (68 peratus) tinggal di Daerah Brunei dan Muara; 7,953 orang (56 peratus) terdiri daripada perempuan; 7,578 (53 peratus) berumur antara 20 hingga 29 tahun; dan 9,053 (64 peratus) mempunyai taraf pendidikan tertinggi di peringkat menengah.

ARTIKEL YANG SAMA