Jerayawara CIPTA diteruskan

Jerayawara CIPTA diteruskan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Ke arah membarigakan kepada orang ramai khususnya penduduk di daerah ini mengenai Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2017, siri jerayawaranya telah diteruskan lagi di Dewan Serba guna, Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

Pada jerayawara itu, taklimat mengenai gambaran menyeluruh kepentingan kreativiti dan inovasi bagi projek-projek CIPTA telah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Maklumat dan Publisiti CIPTA 2017, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib.

Taklimat kemudian disusuli oleh Profesor Dr. Ardeshir Bahreininejad dan Dr. Lim Pang Jen yang menerangkan mengenai kategori-kategori pertandingan, peraturan dan undang-undang, hadiah-hadiah dan anugerah, tarikh-tarikh penting, proses penghakiman dan contoh-contoh projek yang dihantarkan pada pertandingan yang sebelumnya.

Antara yang hadir mendengarkan taklimat tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim, penghulu-penghulu dan ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara, guru-guru, para pelajar dan orang ramai.

Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara bersama tetamu yang lain mendengarkan taklimat tersebut.
Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara bersama tetamu yang lain mendengarkan taklimat tersebut.
Ahli panel yang menyampaikan taklimat dan seterusnya menjawab soalan bagi forum terbuka.
Ahli panel yang menyampaikan taklimat dan seterusnya menjawab soalan bagi forum terbuka.
Antara yang hadir pada siri jerayawara Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2017.
Antara yang hadir pada siri jerayawara Pertandingan Anugerah CIPTA Pengiran Muda Mahkota 2017.

Selepas taklimat, forum terbuka juga diadakan untuk para tetamu yang hadir bertanyakan soalan dan mendapatkan penjelasan yang lebih lanjut mengenai pertandingan itu.

Selain itu, pameran mini yang mempamerkan projek-projek CIPTA yang terdahulu juga dipamerkan semasa jerayawara tersebut bagi menarik minat serta meningkatkan kesedaran awam terhadap Anugerah CIPTA 2017.

CIPTA 2017 yang diadakan dua tahun sekali itu merupakan kali ketujuh ia diadakan yang dianjurkan oleh UTB, dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd, yang juga merupakan penaja pertandingan.

Keterangan lanjut mengenai pertandingan ini boleh diperolehi dari laman sesawang CIPTA 2017 ‘www.utb.edu.bn/cipta’, manakala tarikh akhir bagi pendaftaran untuk menyertai pertandingan ini ialah pada 31 Oktober 2016.

ARTIKEL YANG SAMA