Jerayawara Festival Disember

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Negara Brunei Darussalam akan menjadi destinasi pilihan bagi para pengunjung dalam dan luar negara semasa Festival Disember Brunei 2017 di mana lebih daripada 40 acara menarik telah diatur untuk diadakan di keempat-empat daerah sepanjang Disember nanti.

Festival Disember Brunei 2017 akan bermula pada 3 hingga 31 Disember di mana ia merupakan festival pertama yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama beberapa buah agensi kerajaan dan pengurus acara.

Sehubungan itu, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara serta agensi-agensi yang berkaitan mengadakan Jerayawara Festival Disember Brunei 2017 yang berlangsung di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Hadir di perjumpaan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohamad Ali; pegawai Daerah Brunei dan Muara, pengarah Kemajuan Pelancongan, pengerusi Lembaga Bandaran, pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan dan para penghulu mukim serta ketua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara.

Jerayawara itu, menerangkan mengenai acara-acara yang akan mengambil tempat sepanjang Disember nanti yang meliputi kekeluargaan, keagamaan, kemasyarakatan, kesukanan, masakan dan pelbagai acara-acara menarik dan sesuai bagi semua peringkat umur.

Awang Wardi menjelaskan mengenai Festival Disember Brunei 2017 di jerayawara yang berlangsung di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Fokus pemberigaan ditumpukan kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara selaku pemimpin akar umbi agar dapat menyalurkan maklumat mengenainya kepada anak-anak buah kampung masing-masing dan sekitarnya. Festival itu boleh dimanfaatkan oleh majlis perundingan kampung (MPK), termasuk para belia untuk sama-sama terlibat dan mendukung acara-acara yang dijalankan di samping membuka peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sampingan.

Penganjuran festival itu merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan warga Brunei memilih Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pilihan pertama untuk bercuti dan seterusnya berbelanja dalam negara bagi menjana ekonomi Negara Brunei Darussalam. Selain itu, ia juga merupakan sebagai platform bagi orang ramai di negara ini serta pelancong yang berkunjung ke negara ini menyertai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang telah disusun.

Semasa jerayawara itu, perkara lain yang dibincangkan adalah berhubung dengan penerangan tentang aktiviti-aktiviti kampung yang menjurus kepada industri pelancongan terutama dari segi penyediaan tempat-tempat menarik yang ingin dimajukan dan mengongsi amalan-amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara maju khususnya pendekatan melalui penglibatan rapat Public Private Partnership (PPP).

Menurut Jabatan Kemajuan Pelancongan, jerayawara yang sama juga akan diadakan di Daerah Temburong pada 14 November dan seterusnya ke Daerah Belait dan Daerah Tutong pada 15 November iaitu sebagai usaha pihak KSSUP selaku Lembaga Pelancongan Brunei (Brunei Tourism Board) untuk mempromosikan dan memperkenalkan lagi acara-acara yang akan diadakan di sepanjang festival itu nanti.