Jerayawara ‘Generasi Celik Kewangan’ bermula di Temburong

Jerayawara ‘Generasi Celik Kewangan’ bermula di Temburong

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Selepas Pelancaran Hari Menabung Kebangsaan 2016 pada 4 Mei lalu, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Tabung Amanah Perkerja (TAP), Jabatan Daerah Temburong dan juga agensi-agensi berkaitan mengadakan jerayawara pertama di Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong, hari ini.

Tema Hari Menabung Kebangsaan tahun ini, ‘Generasi Celik Kewangan’ mencerminkan matlamat untuk membangunkan generasi berkemahiran dan pandai berdikari dari segi kewangan bagi membantu menjayakan Wawasan Brunei 2035 agar negara ini mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan.

Jerayawara tersebut dibuka kepada penuntut sekolah rendah dan penduduk di Daerah Temburong, di mana mereka boleh menyertai permainan dan aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang anjuran AMBD dan TAP.

Menurut kenyataan AMBD, jerayawara seterusnya akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada 11 Mei, Daerah Belait pada 16 Mei dan Daerah Tutong pada 18 Mei.

Acara-acara lain yang dirancang sempena Hari Menabung Kebangsaan ialah Financial Fun Fair yang akan diadakan di Jerudong Park Colonnade pada 22 Mei ini bermula jam 3 petang hingga 9 malam.

Di samping itu, jerayawara ini juga menampilkan pelbagai program keluarga dan aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan secara berhemat, Hari Perancang Kewangan anjuran Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM), sebuah institusi latihan di bawah AMBD pada 26 Mei dan Pameran Perancang Kewangan pada 28 Mei.

Untuk makluman lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2016, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.ambd.gov.bn/nsd2016 atau menghubungi AMBD melalui e-mel corpcomms@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA