Jerayawara ‘Generasi Celik Kewangan’ dapat sambutan

Jerayawara ‘Generasi Celik Kewangan’ dapat sambutan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Jerayawara kedua Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sempena Hari Menabung Kebangsaan untuk Daerah Brunei dan Muara telah diadakan di Dewan Sekolah Rendah (SR) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) pagi tadi.

Para pelajar dari 10 buah sekolah rendah di Daerah Brunei dan Muara yang menyertai jerayawara ini telah dijemput untuk menyertai beberapa permainan dan aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang anjuran AMBD, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Bank Baiduri dan Junior Achievement.

Turut berkenan menyertai aktiviti yang diadakan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Hafeez.

Hari Menabung Kebangsaan 2016 dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan’ telah dilancarkan awal bulan ini untuk memupuk budaya menabung terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Acara seperti ini juga diharap dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai kebebasan kewangan agar individu atau isi rumah lebih berwaspada menangani isu-isu kewangan.

YAM Pengiran Anak ‘Abdul Hafeez berkenan menyertai aktiviti jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.
YAM Pengiran Anak ‘Abdul Hafeez berkenan menyertai aktiviti jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.

Ini juga selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan dengan rakyat mahir menguruskan kewangan.

Jerayawara yang diadakan diadakan di keempat-empat daerah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan agensi-agensi, ini telah membuka tirainya di Daerah Temburong pada 9 Mei lalu.

Ia seterusnya akan diadakan di Daerah Belait pada 16 Mei di SR PSN Pengiran Mohd Yusof dan untuk Daerah Tutong pula, ia akan diadakan pada 18 Mei di SR Keriam.

Pelajar-pelajar berkesempatan bergambar ramai bersama pemain Pasukan Brunei DPMM FC di petak pameran Baiduri pada Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.
Pelajar-pelajar berkesempatan bergambar ramai bersama pemain Pasukan Brunei DPMM FC di petak pameran Baiduri pada Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.
Antara pelajar-pelajar yang mengikuti aktiviti Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.
Antara pelajar-pelajar yang mengikuti aktiviti Jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2016.

Acara lain yang dirancang sempena dengan Hari Menabung Kebangsaan adalah Financial Fun Fair yang akan diadakan di Jerudong Park Colonnade pada 22 Mei bermula jam 3 petang hingga 9 malam.

Acara ini nanti akan menampilkan pelbagai program keluarga dan aktiviti interaktif bertemakan pengurusan kewangan secara berhemat; Financial Planners’ Day anjuran Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM), sebuah institusi latihan di bawah AMBD pada 26 Mei; dan Financial Planners’ Showcase pada 28 Mei.

Untuk maklumat lanjut mengenai Hari Menabung Kebangsaan 2016, orang ramai boleh melayari laman web www.ambd.gov.bn/nsd2016 atau menghubungi AMBD melalui e-mel corpcomms@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA