Jerayawara Hari Diabetes labuh tirai

Jerayawara Hari Diabetes labuh tirai

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 31 Jan – Sejajar dengan moto Sambutan Hari Diabetes Sedunia iaitu ‘Bertindak Sekarang Untuk Merubah Esok’, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dengan kerjasama Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait telah menganjurkan Jerayawara Hari Diabetes Sedunia yang berlangsung selama dua hari, hingga hari ini di pusat membeli-belah KBSentral.

Jerayawara yang dikendalikan dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Diabetes (TERAJA) dan KBSentral, berakhir dengan majlis penutup yang dihadiri oleh Dato Paduka Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim dari Klinik Amir selaku tetamu kehormat.

Beliau juga dipelawa untuk melawati pondok-pondok serta pameran kesihatan yang terdapat semasa jerayawara itu. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada para peserta TERAJA yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Jerayawara ini merupakan salah satu kempen kesedaran bagi penyakit kencing manis atau diabetes dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan dan pameran kesihatan, kuiz dan peraduan mewarna bertemakan penyakit kencing manis dan konsultasi bersama para pegawai pemakanan dan podiatri serta pengedaran risalah-risalah kesihatan seperti pemakanan, kegiatan fizikal dan penyakit diabetes.

Tetamu kehormat melihat secara lebih dekat lagi pameran pada jerayawara itu.
Tetamu kehormat melihat secara lebih dekat lagi pameran pada jerayawara itu.
Pengunjung diberi penerangan mengenai jenis makanan dan minuman bergula.
Pengunjung diberi penerangan mengenai jenis makanan dan minuman bergula.

Menurut jurucakap Unit Sumber dan Pemasaran Sosial, Pusat Promosi Kesihatan, jerayawara ini diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan terhadap penyakit kencing manis serta langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mencapai Wawasan 2035 Kementerian Kesihatan iaitu ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

ARTIKEL YANG SAMA