Jerayawara In...

Jerayawara InfoDept.BN diteruskan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Mei – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah meneruskan lagi pemberigaan aplikasi mudah alih ‘InfoDept.BN’ dengan jerayawara yang diadakan di Ruang Legar, Pusat Membeli-belah KBSentral, di sini.

Jerayawara yang juga bersempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-65 tahun itu diadakan selama tiga hari bermula kelmarin dan akan berakhir esok sebelum diteruskan lagi di Daerah Tutong bermula 22 Mei di Ruang Legar Petani Mall.

Aplikasi mudah alih yang telah dilancarkan oleh Jabatan Penerangan itu adalah langkah yang sesuai bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai dalam menerima maklumat di hujung jari secara mudah, cepat dan tepat sepertimana amalan yang dibuat oleh jabatan sebagai organisasi kerajaan yang menyampaikan maklumat betul dan sahih mengenai kerajaan.

Aplikasi tersebut direka untuk membawa imej jabatan kepada yang lebih cekap dan meningkatkan prestasi lebih cemerlang, di samping membantu jabatan mencapai moto, visi dan misinya, selain diharapkan untuk membantu orang ramai mendapatkan lebih banyak berita yang penting, tepat dan cepat.

Salah seorang pegawai dari Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait semasa menerangkan mengenai aplikasi InfoDept.BN pada jerayawara yang diadakan di KBSentral.
Salah seorang pegawai dari Jabatan Penerangan cawangan Daerah Belait semasa menerangkan mengenai aplikasi InfoDept.BN pada jerayawara yang diadakan di KBSentral.

Semasa jerayawara berkenaan, pegawai di jabatan tersebut menjelaskan, antara faedah aplikasi tersebut termasuk memudah dan mempercepatkan pengguna mendapat berita terkini, meningkatkan keberkesanan komunikasi dan perkongsian maklumat, menjimatkan kos kerajaan (percetakan) dan menjurus ke arah ‘Paperless’ dan ‘Green IT’, di samping itu membuat kajian dan praktik pengguna sumber daya IT secara efisien, celik IT dan bagi mendukung hasrat negara mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan pelaksanaan yang cepat dan mudah.

Petak Pameran Aplikasi Mudah Alih turut disediakan bagi memudahkan Jabatan Penerangan memberigakan secara bersemuka bersama orang ramai mengenai tatacara menggunakan aplikasi berkenaan.

Jabatan Penerangan yang dulu dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan ditubuhkan pada 1 April 1952 dengan antara peranan utamanya adalah sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan dan mendengar isu-isu terkini serta memahami agenda media massa selaras dengan moto jabatan itu, ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’.

ARTIKEL YANG SAMA